PROGRAM PEMBANGUNAN INSAN (PPI)
Program Pembangunan Insan (PPI) berperanan untuk meningkatkan kompetensi ilmu pengetahuan dan kompetensi pegawai hal ehwal Islam JAKIM termasuklah juga pegawai-pegawai di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) khususnya dalam bidang pendidikan, perunding cara, kaunseling, pengurusan keluarga, pengurusan masjid dan dakwah serta menyediakan platform untuk mewujud, membangun dan melaksana inovasi nilai dalam penyampaian perkhidmatan awam melalui inisiatif – inisiatif Strategi Lautan Biru (BOS). Peranan ini disebarluas dan dilaksanakan melalui program-program latihan seperti kursus, seminar dan bengkel.
Fungsi utama Program Pembangunan Insan ialah menyediakan program-program latihan kepada Skim Hal Ehwal Islam yang terlibat secara langsung dengan masyarakat seperti JAKIM, JAIN, MAIN, kader JAKIM atau agensi – agensi agama yang terlibat termasuklah negara – negara serantau melalui kursus – kursus yang dianjurkan. Program ini juga berperanan dalam menyediakan latihan asas yang memberi pendedahan umum seperti ilmu pengetahuan, kemahiran asas dalam penyampaian maklumat serta sikap menurut perspektif Islam kepada semua kakitangan awam di seluruh Malaysia. Selain itu juga, menyediakan platform latihan kepada komuniti dan terbuka kepada semua masyarakat melalui program seminar, wacana dan diskusi. Antara pengisian dan aktiviti yang dijalankan dalam kursus – kursus yang dilaksanakan ialah, ceramah, pembentangan kerta kerja, latihan berkumpulan, latihan amali dalam kelas dan lapangan, perbincangan, program secara dalam talian dan lain-lain lagi.
PPI merangkumi 3 seksyen iaitu Seksyen Dakwah dan Pembangunan Insan, Seksyen Tarbiyah wa Tadribiyyah dan Seksyen Siyasah Syar’iyyah.
Seksyen Dakwah dan Pembangunan Insan
Seksyen Dakwah dan Pembangunan Insan memberi fokus kepada aktiviti-aktiviti dakwah dalam penyebaran agama serta pembangunan modal insan meliputi pembangunan diri, Jabatan atau Agensi dan komuniti.
Program - program yang dilaksanakan di bawah seksyen ini berasaskan modul seperti pengurusan sains dakwah, metodologi dakwah, komunikasi dan media dakwah, ‘ilaj syarie, psikologi dakwah serta dakwah dan kepimpinan.
Seksyen Tarbiyah wa Tadribiyyah
Seksyen Tarbiyah wa Tadribiyyah memfokuskan kepada dua aspek utama iaitu:
Tarbiyah: Ini merujuk kepada pendidikan atau pengajaran yang melibatkan pembentukan akhlak dan pemahaman agama. Ia bertujuan untuk mendidik individu dalam aspek-aspek moral dan spiritual, serta memperkukuh pengetahuan agama.
Tadribiyyah: Memberi latihan atau pembelajaran yang lebih praktikal. Ia melibatkan pengembangan kemahiran, latihan teknikal, dan pembelajaran praktikal yang berkaitan dengan pekerjaan atau penguasaan bahasa.
Program – program yang dikendalikan di bawah seksyen ini meliputi modul pengurusan pendidikan Islam, psikologi pendidikan Islam, pengurusan latihan Islam, pendidikan al-Quran dan al-Hadith dan pengurusan bahasa dakwah.
Seksyen Siyasah Syar’iyyah
Seksyen Siyasah Syar’iyyah memainkan peranan penting dalam memastikan aspek pemerintahan dan dasar – dasar negara diuruskan secara holistik, sesuai dengan prinsip syariah, dan selaras dengan nilai-nilai dan keperluan masyarakat Islam.
Program – program yang dianjurkan di bawah seksyen ini merangkumi modul yang berkaitan pengurusan kepimpinan dan pentadbiran islam, maqasid syar’iyyah, pengurusan institusi Islam, perhubungan antarbangsa Islam, pengurusan kekeluargaan Islam, rundingcara kekeluargaan Islam dan fiqh kenegaraan.
Program Pembangunan Insan (PPI)
Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Jalan Maktab, Seksyen 12
43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
Tel: 03-89218452
Faks: 03-8920 1849
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.