Bangi, 28 Ogos 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI) telah berjaya menganjurkan Kursus Fikrah Madani Siri 2/2026 selama tiga (3) hari bermula 26 hingga 28 Ogos 2026 bertempat di ILIM Kampus Utama Bangi. Kursus ini melibatkan penyertaan Guru KAFA dan Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) dari Wilayah Persekutuan dan Negeri Selangor.
Kursus Fikrah Madani merupakan inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh ILIM berdasarkan Modul Fikrah Madani yang dibangunkan selaras dengan gagasan Malaysia Madani. Kursus ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh fasilitator ILIM Kampus Utama Bangi. YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM turut menyampaikan slot bertajuk Impak Madani, seterusnya merasmikan majlis penutup kursus tersebut.
Sepanjang tiga hari pelaksanaan kursus, para peserta telah didedahkan mengenai pelaksanaan Konsep Fikrah Madani serta perkaitannya dengan Maqasid Syariah dan Piagam Madinah.
Diharapkan kursus ini dapat memberi manfaat kepada para guru KAFA dan PPMD dalam memperkukuhkan pemahaman dan penghayatan terhadap Konsep Fikrah Madani, seterusnya mengaplikasikan nilai-nilai Malaysia Madani serta Maqasid Syariah dalam penyampaian pengajaran dan pembelajaran di institusi KAFA.



