WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

PROFIL ILIM

Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ditubuhkan pada tahun 1997 di atas tanah berkeluasan 36 ekar di Bangi, Selangor Darul Ehsan. Penubuhan ILIM bertujuan memenuhi aspirasi umat Islam yang ingin melihat kewujudan sebuah institusi latihan Islam yang bertanggungjawab melaksanakan bidang latihan Islam di Malaysia.

ILIM berperanan sebagai institusi yang menyediakan perkhidmatan latihan dalam pengurusan hal ehwal Islam kepada Pegawai Hal Ehwal Islam khususnya dan kakitangan Kerajaan umumnya bagi melahirkan penjawat awam yang kompeten duniawi dan ukhrawi.

Pengstrukturan semula (redeployment) JAKIM pada 1 November 2018, telah meletakkan lima (5) Pusat Latihan Islam JAKIM di bawah ILIM iaitu:

  1. Institut Latihan Islam Malaysia Wilayah Timur (ILTIM) Besut, Terengganu kini dikenali sebagai ILIM KAMPUS BESUT, TERENGGANU;
  2. Institut Pemahaman dan Perkaderan Akidah Malaysia (IPHAM), Jelebu, Negeri Sembilan kini dikenali sebagai ILIM KAMPUS JELEBU, NEGERI SEMBILAN;
  3. Pusat Latihan Islam Kundasang, Sabah kini dikenali sebagai ILIM KAMPUS KUNDASANG, SABAH;
  4. Pusat Latihan Islam Lahad Datu, Sabah kini dikenali sebagai ILIM KAMPUS LAHAD DATU, SABAH; dan
  5. Pusat Latihan Islam Lawas, Sarawak kini dikenali sebagai ILIM KAMPUS LAWAS SARAWAK.

Pengurusan ILIM diterajui oleh seorang Pengarah Kanan dengan dibantu dua (2) orang Timbalan Pengarah, seorang Pendaftar serta Pengarah-Pengarah Kampus ILIM di seluruh Malaysia dengan jumlah perjawatan sebanyak 159 orang Pegawai dan Kakitangan.

Objektif utama ILIM ialah untuk melahirkan pegawai dan kakitangan pengurusan hal ehwal Islam yang bertaqwa, kompeten dan cekal menghadapi cabaran.

Fungsi utama ILIM ialah membangunkan modal insan pegawai hal ehwal Islam, modul latihan Islam, kepakaran  dan kepimpinan perkhidmatan hal ehwal Islam bagi memastikan kecemerlangan pengurusan hal ehwal Islam di negara ini.

Bagi tujuan pembangunan modal insan, satu Pelan Latihan atau Training Road Map JAKIM  telah dibangunkan. Pelan Latihan ini adalah rujukan dan panduan latihan kepada semua Pegawai Perkhidmatan Hal Ehwal Islam di mana jua penempatan mereka, untuk mengikuti latihan secara sistematik dan terancang.

Pelan Latihan JAKIM juga boleh dirujuk oleh Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, Jabatan-Jabatan Mufti serta Agensi Agama Persekutuan untuk mengikuti program latihan dan kursus-kursus yang di sediakan oleh ILIM.

Sebagai panduan bagi pelaksanaan program pembangunan modal insan Pegawai Hal Ehwal Islam, JAKIM telah menetapkan sembilan (9) bidang teras Perkhidmatan Hal Ehwal Islam bagi memenuhi fungsi tugas jawatan-jawatan tertentu. Sembilan bidang teras tersebut ialah:

  1. Al-Quran dan Hadith
  2. Akidah dan Aliran Pemikiran
  3. Dakwah dan Pembangunan Insan
  4. Tarbiyyah dan Tadribiyyah Islamiah
  5. Perundangan Islam
  6. Muamalat
  7. Pengurusan Halal
  8. Penyelidikan dan Pembangunan
  9. Pengurusan Siasah Syariyyah

Selain kumpulan sasar perkhidmatan hal ehwal Islam, program latihan dan kursus yang disediakan oleh ILIM, termasuk juga dalam kalangan penjawat awam, key-communicator di bawah program JAKIM iaitu Pegawai-Pegawai Masjid, Guru-Guru Takmir, Guru-Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Penggerak Masyarakat Orang Asli, Penggerak Masyarakat Saudara Kita dan lain-lain.

ILIM akan terus memainkan peranan sebagai pusat latihan Islam yang terunggul bagi melahirkan pegawai perkhidmatan hal ehwal Islam yang kompeten, profesional, berhikmah, efisien dan berintegriti, bagi memastikan pengurusan hal ehwal Islam di negara ini terus cemerlang.

“Ingat Latihan, Ingat ILIM”.

 

Klik untuk Maklumat Lanjut atau Imbas Kod QR :