WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, 20 Ogos 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) JAKIM Kampus Utama Bangi melalui Program Teras telah berjaya melaksanakan Kursus Counter Ideology: Strategi Risikan Akidah Dan Pemikiran Islam yang berlangsung selama 4 hari bermula pada 17 sehingga 20 Ogos 2026.
 
Kursus ini bermatlamat untuk memperkasakan kefahaman peserta mengenai ilmu perisikan dan keselamatan strategik dalam menangani penyelewengan akidah dan pemikiran Islam, fahaman dan elemen radikal serta ekstremisme. Penganjuran kursus juga bermatlamat meningkatkan kefahaman peserta mengenai teknik dan taktikal dalam mendapatkan maklumat dan membina jaringan sumber informasi, mengukuhkan jaringan kerjasama antara agensi (networking) serta kemahiran Gerak Saraf Perang Saraf (GSPS).
 
Selain itu, objektif penganjuran kursus juga adalah bagi mengukuhkan pengetahuan peserta dengan pendekatan perisikan yang pelbagai dan pemikiran strategik serta naratif balas. Turut menjadi matlamat Kursus adalah untuk membangunkan pemikiran dan analisis strategik dalam tugas-tugas penyelidikan serta kajian lapangan. Kursus telah disertai oleh 36 orang peserta dari pelbagai latabelakang perkhidmatan dan agensi antaranya, Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Penyelidikan JAKIM, JAIN, Kader JAKIM dari KDN, MKN, AADK, Jabatan Penjara dan KAGAT. Turut menjayakan penganjuran Kursus, sembilan orang penceramah berkelayakan dan berpengalaman luas dari pelbagai agensi dalam bidang perisikan dan pemikiran strategik telah diundang antaranya dari PDRM, MINDEF, MKN, UiTM, SKMM, JPM dan JAKIM.
 
Kursus telah melabuhkan tirainya menerusi Majlis perasmian penutup yang telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia. Turut hadir di Majlis yang sama adalah YBrs. Tuan Haji Mohd Roska bin Mohamed Rasidek, Ketua Penolong Pengarah Program Teras ILIM.