WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
BANGI, 20 Ogos 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Kursus Psycho Daie yang berlangsung pada 18 hingga 20 Ogos 2026 bertempat di Bilik Kuliah Bukhari, ILIM Bangi.
 
Kursus ini memberi penekanan kepada pengukuhan kefahaman dan kemahiran peserta dalam memahami aspek psikologi, spiritual dan emosi yang berkait rapat dengan pelaksanaan dakwah. Pendekatan ini penting bagi membantu para daie berinteraksi dengan mad'u secara lebih berhemah, empati dan bersesuaian dengan keperluan individu.
 
Peserta kursus terdiri daripada penjawat awam daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi, antaranya guru, pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pensyarah dan kakitangan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam, pegawai Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta JAKIM. Kepelbagaian latar belakang peserta ini mewujudkan ruang perkongsian pengalaman dan perspektif yang lebih luas berkaitan cabaran dakwah, psikologi dan pembangunan insan.
 
Pengisian kursus turut menggabungkan perspektif dakwah, kaunseling spiritual dan psikospiritual, sekali gus memberikan pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan memahami keadaan dalaman individu dalam proses bimbingan dan dakwah.
 
Kursus ini menampilkan Prof. Dr. Salasiah Hanin Hamjah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mempunyai kepakaran dalam bidang dakwah, kaunseling spiritual dan psikospiritual Islam. Perbincangan turut menyentuh pendekatan spiritual dalam membentuk kekuatan jiwa dan pengurusan diri berasaskan perspektif Islam.
 
Turut berkongsi kepakaran ialah Dr. Mohd Afifuddin Mohamad dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang mempunyai latar dalam bidang psikospiritual, psikologi dan perubatan Islam. Perkongsian beliau memberikan pendedahan kepada peserta mengenai pendekatan psikospiritual dalam memahami serta membantu individu berhadapan dengan pelbagai cabaran kehidupan.
 
Melalui penganjuran kursus ini, ILIM terus komited memperkasa kompetensi peserta kursus agar lebih bersedia menghadapi realiti dan cabaran semasa. Pendekatan dakwah yang bukan sahaja berasaskan ilmu, tetapi turut mengambil kira aspek psikologi, emosi dan spiritual diyakini dapat menghasilkan proses bimbingan yang lebih holistik dan berkesan.
 
Semoga ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang kursus ini dapat dimanfaatkan oleh para peserta dalam melaksanakan amanah serta memberi khidmat bimbingan yang lebih berkesan kepada masyarakat.