WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, Selangor – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Kursus Bahasa Isyarat Islami bermula 18 hingga 20 Ogos 2026 untuk meningkatkan pengetahuan peserta tentang asas Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dalam konteks komunikasi Islam, membangunkan kemahiran menggunakan bahasa isyarat bagi komunikasi, ibadah dan dakwah serta membentuk sikap prihatin, inklusif dan empati terhadap komuniti OKU Pendengaran.
 
Peserta yang mengikuti kursus ini terdiri dari kalangan penjawat awam pelbagai gred daripada JAKIM, MAIN, JAIN dan Kementerian yang berhadapan dengan golongan OKU Pendengaran.
 
Kursus dilaksanakan melalui pendekatan pembelajaran teori dan amali yang interaktif. Slot-slot kursus dikendalikan oleh Penceramah dan Juru Bahasa Isyarat yang berpengalaman iaitu Ustaz Ahmad Rozaimi Mohamed dan Ustaz Muhammad Arifullah Roslee. Slot kursus dimulakan dengan memberi pengenalan kepada Bahasa Isyarat Islam dan komuniti pekak Muslim melalui ceramah interaktif dan tayangan video. Slot seterusnya aktiviti kursus dilaksanakan melalui demontsrasi dan latihan praktikal asas BIM serta fokus kepada istilah bahasa isyarat berkaitan akidah, ibadah dan dakwah. Slot-slot kursus dilaksanakan mengunakan pendekatan latihan, simulasi, pembentangan dan role play agar peserta boleh memahami dan mempraktikkan bahasa isyarat.
 
Peserta menunjukkan penglibatan yang aktif melalui demonstrasi, latihan berpasangan, aktiviti berkumpulan, simulasi dan pembentangan. Penglibatan secara amali memberi peluang kepada peserta mempraktikkan kosa kata, komunikasi asas serta penyampaian mesej Islam dalam bahasa isyarat secara langsung dan membina keyakinan untuk berinteraksi dengan komuniti OKU Pendengaran.
 
Kursus ini diharapkan dapat memperluas kompetensi warga kerja dalam komunikasi Islam yang inklusif, meningkatkan akses komuniti OKU Pendengaran kepada maklumat dan bimbingan agama serta menjadi asas kepada pembangunan program Bahasa Isyarat Islam yang lebih komprehensif dan berterusan.