WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, 5 Ogos 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Kursus Penulisan Teks Ucapan Kerajaan pada 4 hingga 5 Ogos 2026 bertempat di ILIM Kampus Utama Bangi. Kursus ini disertai oleh penjawat awam sebagai salah satu usaha memperkukuh kompetensi dalam penulisan profesional dan penyediaan dokumen rasmi kerajaan.
 
Kursus ini memberi pendedahan kepada peserta tentang kaedah menghasilkan teks ucapan yang tersusun, jelas dan berkesan, di samping menyesuaikan kandungan dengan tujuan, khalayak serta konteks sesuatu majlis. Penekanan turut diberikan kepada penggunaan bahasa yang baik dan sesuai bagi memastikan mesej dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
 
Sepanjang kursus berlangsung, peserta berpeluang mengikuti sesi interaktif, perbincangan, analisis teks serta latihan amali penulisan dan pembentangan. Peserta juga didedahkan kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai salah satu pendekatan sokongan dalam menghasilkan dan menambah baik teks ucapan, di samping memperkukuh kemahiran menyunting serta menyemak hasil penulisan.
 
Semoga pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh sepanjang kursus ini dapat membantu peserta menghasilkan teks ucapan dan dokumen rasmi yang lebih berkualiti, kemas dan profesional. Lebih penting, ilmu yang dipelajari dapat dimanfaatkan dalam tugasan harian serta memberi nilai tambah kepada penyampaian komunikasi rasmi di jabatan masing-masing.