Bangi, 30 Julai 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah berjaya menganjurkan Kursus Mualaf Journey 2026 selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Julai 2026 dengan penyertaan pegawai dan kader JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) serta penjawat awam daripada pelbagai agensi, jabatan dan kementerian.
Kursus ini dianjurkan sebagai platform untuk memperkukuh kefahaman peserta mengenai landskap pengurusan mualaf di Malaysia, memperkasa pengetahuan berkaitan aspek perundangan pengislaman dan hak mualaf, serta meningkatkan kompetensi dalam mengurus pembangunan mualaf secara lebih sistematik, inklusif dan bersepadu.
Sepanjang kursus, peserta telah mengikuti pelbagai sesi perkongsian ilmu yang dikendalikan oleh barisan penceramah berpengalaman daripada PERKIM, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan tokoh-tokoh yang berpengalaman dalam pengurusan mualaf. Pengisian turut diperkaya dengan kajian kes, bengkel, simulasi, perbincangan kumpulan dan pembentangan bagi menggalakkan penglibatan aktif serta perkongsian pengalaman dalam kalangan peserta.
Selain itu, peserta turut mengadakan lawatan akademik ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan bagi melihat secara langsung pelaksanaan pengurusan, kebajikan, pendidikan dan pendampingan mualaf. Lawatan ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami amalan terbaik yang boleh disesuaikan dan diaplikasikan di organisasi masing-masing.
Penganjuran kursus ini diharap dapat melahirkan pegawai yang lebih kompeten, berempati dan profesional dalam mengurus serta membimbing mualaf, di samping memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara JAKIM, MAIN, JAIN, PERKIM dan agensi-agensi berkaitan demi memperkasakan ekosistem pengurusan mualaf di Malaysia.




