Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi Program Kecemerlangan Pengurusan Hal Ehwal Islam (PKPHEI) telah berjaya menganjurkan Webinar Tadabbur Wahyu Teragung: Memahami Al-Quran, Memaknai Kehidupan secara dalam talian pada 28 Julai 2026 dengan penuh jayanya dan mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Penganjuran webinar ini merupakan manifestasi komitmen berterusan ILIM Kampus Lahad Datu dalam memperkasa kefahaman, penghayatan dan pembudayaan al-Quran sebagai sumber petunjuk Ilahi yang menjadi tunjang pembinaan modal insan rabbani, berintegriti dan berdaya saing. Program ini dirangka sebagai wadah intelektual dan spiritual bagi memperluas kefahaman peserta terhadap konsep tadabbur al-Quran secara holistik, mendalam dan berpaksikan manhaj yang sahih.
Seiring dengan aspirasi untuk melahirkan masyarakat yang celik al-Quran dan berjiwa tadabbur, para peserta turut didedahkan dengan pendekatan yang sistematik dalam menelusuri makna serta mesej yang terkandung di sebalik ayat-ayat suci al-Quran. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan peserta dalam menganalisis kandungan wahyu secara kritis dan berfokus, bahkan mampu menyemai nilai-nilai rabbani yang dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian sebagai panduan membina sahsiah dan memperteguh jati diri Muslim.
Webinar ini telah menghimpunkan seramai 170 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Hal Ehwal Islam, guru-guru Takmir, imam-imam kariah dan rawatib, guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), penjawat awam serta masyarakat umum yang mempunyai minat dan iltizam yang tinggi untuk mendalami penghayatan al-Quran dalam kehidupan.
Bagi menyemarakkan pengisian ilmiah program ini, ILIM Kampus Lahad Datu telah menjemput Ustaz Syahmi Syazeril bin Azmi, Pengarah Urusan Tadabbur Center Sdn. Bhd., Selangor, sebagai penceramah jemputan. Beliau merupakan seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam bidang tadabbur al-Quran dan telah berkongsi pelbagai kaedah, pendekatan serta pengalaman praktikal dalam mendekatkan peserta kepada keindahan dan kebijaksanaan wahyu Allah SWT.
Hakikatnya, al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk dibaca dan difahami melalui terjemahan semata-mata, bahkan untuk ditadabburi, dihayati serta dijadikan pedoman dalam setiap dimensi kehidupan. Melalui pendekatan tadabbur, setiap untaian ayat yang dibaca mampu menyentuh sanubari, mencetuskan kesedaran rohani serta membentuk pemikiran yang lebih terpandu ke arah memperoleh keredaan Allah SWT.
Semoga penganjuran webinar ini menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan masyarakat yang sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran, seterusnya menjadikan wahyu Ilahi sebagai kompas kehidupan dalam membina sebuah masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia, berintegriti dan diberkati. Sesungguhnya, apabila al-Quran menyapa hati, maka lahirlah kehidupan yang terpimpin dengan cahaya wahyu dan dipandu oleh nilai-nilai Islam yang syumul.





