BANGI, 30 Mei 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) menganjurkan Program Penerapan Nilai-Nilai Murni “Pengorbanan Membina Ihsan, Aidiladha Menyemai Hikmah” bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1447H/2026M. Program ini diadakan dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam, Maybank Islamic Sdn. Bhd. pada hari Sabtu, 30 Mei 2026 bersamaan 13 Zulhijah 1447 bermula jam 7.30 pagi hingga 2.00 petang bertempat di ILIM Kampus Utama Bangi.
Pelaksanaan program ini bertujuan menyemarakkan penghayatan ibadah korban dalam kalangan warga ILIM, selain memupuk nilai kebersamaan, keprihatinan sosial dan semangat gotong-royong bersempena Aidiladha. Atur cara program bermula dengan tazkirah ringkas oleh Ustaz Mohd Shahril bin Abd Samat, Penolong Pengarah Kanan ILIM serta taklimat pembahagian tugas kepada petugas oleh Encik Muhammad Razmil Rizal Aminan, Pengerusi Surau Salahuddin Al-Ayyubi.
Majlis korban berlangsung pada jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari melibatkan aktiviti penyembelihan haiwan korban, proses melapah, menimbang dan rewang. Program turut diserikan dengan penyampaian agihan daging korban kepada penerima daripada golongan asnaf dan peserta korban. Penyampaian tersebut disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM bersama Encik Ahmad Shareza bin Abdul Rahman, Head, Maybank Ventures (Group Islamic Banking) merangkap Pengerusi Surau Al-Insan Maybank.
Agihan ini mencerminkan komitmen ILIM dan Maybank dalam menyantuni golongan yang memerlukan di samping memperkukuh nilai ihsan, ukhuwah dan kebersamaan sempena Aidiladha. Penganjuran program ini selaras dengan tuntutan ibadah korban yang menekankan nilai ketakwaan, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Hajj ayat 37 yang bermaksud, daging dan darah haiwan korban tidak sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan hamba-Nya.





