Bangi, Selangor – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Kursus Communicative English for Islamic Affairs Professionals bermula 19 hingga 21 Mei 2026 kepada Perunding Latihan ILIM dan Pegawai Pengurusan Hal Ehwal Islam.
Pelaksanaan kursus ini bertujuan meningkatkan kefahaman peserta dalam mengenal pasti, memahami dan menghuraikan maklumat, idea serta konsep asas komunikasi menggunakan bahasa Inggeris seperti perbualan, media sosial dan arahan. Selain itu, kursus ini turut membangunkan kemahiran komunikasi peserta secara lisan dan bertulis melalui aktiviti interaktif, pembentangan, perbincangan berkumpulan dan latihan komunikasi yang memberi fokus kepada keyakinan serta ketepatan penggunaan bahasa.
Kursus ini dikendalikan oleh barisan penceramah yang berpengalaman dan pakar dalam bidang bahasa inggeris daripada Institut Pendidikan Guru Bahasa Antarabangsa iaitu Dr Munirah Hanafi @ Abd Ghani, Encik Mohd Azmanuddin Azman dan Puan Nor Izyani Johar. Keunikan kursus ini terserlah melalui pendekatan pembelajaran yang santai, komunikatif dan berorientasikan situasi sebenar tugasan pegawai hal ehwal Islam. Peserta turut didedahkan dengan aktiviti penyelesaian masalah, simulasi komunikasi serta latihan pembentangan yang mampu meningkatkan keberanian, kreativiti dan daya fikir peserta dalam menggunakan bahasa Inggeris secara lebih efektif dan profesional.
Pendekatan yang interaktif oleh para penceramah berjaya menarik penglibatan yang aktif dalam kalangan peserta untuk terlibat dalam setiap slot aktiviti yang ditetapkan. Diharapkan penganjuran kursus seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan pegawai hal ehwal Islam yang lebih kompeten, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan mampu menyampaikan mesej Islam dengan lebih berkesan di peringkat nasional dan antarabangsa.



