Bangi, 14 Mei 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI) telah menganjurkan Seminar Sahsiah Rabbani yang berlangsung pada hari Khamis, 14 Mei 2026. Penganjuran seminar ini adalah merupakan satu komitmen ILIM untuk membentuk masyarakat khususnya penjawat awam, yang bukan hanya kompeten dari sudut teknikal dan bidang-badang kepakaran tertentu sahaja, tetapi kita perlu melahirkan orang-orang yang juga mempunyai kompetensi dari sudut sahsiah, nilai ihsan dan integriti yang tinggi di sisi Allah.
Seminar ini telah dihadiri lebih 200 orang pegawai dan kakitangan daripada agensi kerajaan persekutuan dan negeri. Ceramah pertama telah disampaikan oleh Yang Berusaha Dr. Mohd Zuhdi bin Ahmad Khasasi, Penolong Ketua Jabatan, Jabatan Agama Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru Kampus Bangi dengan tajuk Sahsiah Rabbani- Beyond Skill and Competency. Manakala penceramah kedua ialah Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Rosmawati binti Abdul Rasit, Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat (HIJEM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berkongsi pelbagai input berkaitan Aplikasi Sahsiah Rabbani Dalam Cabaran Profesional. Penyampaian yang interaktif serta perkongsian pengalaman sebenar turut membantu peserta memahami isu yang sedang dihadapi serta bentuk penyelesaian yang lebih efisyen terkait dengan tugas harian di jabatan masing-masing.
Selain itu, peserta juga didedahkan dengan analisis isu-isu semasa serta strategi penambahbaikan dalam pengurusan kerja dan emosi bagi memperkukuhkan aspek integriti, sahsiah diri dan tadbir urus organisasi.
Penganjuran kursus ini diharap dapat melahirkan penjawat awam yang lebih kompeten dan berpengetahuan dalam pengurusan emosi dan nilai ihsani serta mampu merencana urusan untuk dunia dan akhirat secara lebih profesional dan berintegriti.




