WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Lahad Datu, 10 Mei 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi Program Kecemerlangan Pengurusan Hal Ehwal Islam (PKPHEI) telah berjaya menganjurkan Kursus Dinamika Pembinaan Soalan selama dua hari satu malam bermula 8 hingga 10 Mei 2026 bertempat di Dewan ‘Aliah, JHEAINS Semporna.

Program yang menghimpunkan seramai 50 orang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Daerah Semporna ini diadakan sebagai wadah pemerkasaan profesionalisme pendidik dalam memperkukuh kompetensi pembinaan instrumen penilaian yang sistematik, holistik dan bertepatan dengan aspirasi Kurikulum KAFA semasa.

Penganjuran kursus ini bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh berkaitan pedagogi penilaian formatif dan sumatif, di samping memperincikan kaedah penentuan aras kesukaran soalan secara tepat serta pengagihan markah yang adil, seimbang dan berintegriti. Selain itu, para peserta turut didedahkan dengan teknik serta strategi pembinaan item berkualiti tinggi yang menepati pelbagai aras pemikiran, selaras dengan kehendak pendidikan abad ke-21.

Bagi memastikan penyampaian ilmu berlangsung secara efektif dan berimpak tinggi, dua orang tokoh pendidikan berpengalaman luas dalam bidang pedagogi dan penilaian telah diundang khas sebagai tenaga pengajar sepanjang kursus berlangsung. Mereka ialah Ustazah Abidah binti Wasimin, Penyelia KAFA Daerah Ranau 1 serta Ustazah Nur Adila Farhana binti Bakar, Penyelia KAFA Negeri, JAKIM Cawangan Sabah.

Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai slot pengisian ilmiah dan latihan praktikal yang merangkumi tajuk Klasifikasi dan Bentuk Ujian: Suatu Pengenalan, Apakah Itu Jadual Spesifikasi Ujian (JSU)?, Ujian Objektif dan Subjektif: Jenis dan Kategori, Panduan dan Strategi Pembinaan Item serta sesi Pembentangan Kerja Kumpulan.

Kursus ini bukan sahaja menjadi medium pemantapan ilmu dan kemahiran dalam bidang pentaksiran, bahkan turut berperanan sebagai platform percambahan idea serta perkongsian pengalaman dalam kalangan pendidik KAFA. Penganjuran program seumpama ini diharapkan mampu melahirkan tenaga pengajar yang lebih kompeten, progresif dan berwibawa dalam menghasilkan instrumen penilaian yang berkualiti, seterusnya memperkukuh kecemerlangan pendidikan Islam di negeri Sabah khususnya.