30 April 2026 | Bangi - Alhamdulillah, telah berlangsung dengan jayanya Kursus Daei On The Move anjuran ILIM seramai 34 orang peserta daripada pelbagai agensi termasuk JAKIM, JAIN, MAIN, agensi kerajaan, NGO dan IPT yang berlangsung selama 3 hari bermula 28 hingga 30 April 2026.
Kursus ini telah disampaikan oleh Tuan Haji Noli bin Husain dari Hidayah Center Foundation, yang berkongsi pendekatan dakwah kontemporari khususnya teknik ASARA-PK dalam jemputan syahadah, serta pengamalan Dakwah Bil Hal dan komunikasi berkesan dalam menyantuni mad’u bukan Islam.
Sepanjang tiga hari program, peserta turut menjalani latihan lapangan di sekitar Jalan Reko, yang memberi pengalaman sebenar berinteraksi dengan masyarakat dalam konteks dakwah secara langsung. Sesi post-mortem dan rumusan kursus turut diadakan bagi memperkukuh kefahaman dan penambahbaikan pendekatan dakwah pada masa akan datang.
Objektif kursus adalah untuk melahirkan pendakwah yang bukan sahaja memahami prinsip dakwah kepada bukan Islam secara sensitif dan berhemah, tetapi juga mampu mengaplikasikan metodologi dakwah secara praktikal dalam pelbagai situasi serta membina sikap empati, terbuka dan beretika dalam menyampaikan risalah Islam dengan komunikasi yang berkesan.
Semoga segala ilmu dan latihan yang diperoleh menjadi bekal bermanfaat dalam usaha memperkasa gerakan dakwah di lapangan.

