WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Lahad Datu, 23 April 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), melalui Program Kecemerlangan Pengurusan Hal Ehwal Islam (PKPHEI) telah berjaya menganjurkan Daurah Hadith-Hadith Hukum dalam Mazhab Syafi‘i bertempat di Dewan Mini Masjid Al-Raudhah, Lahad Datu.

Program ilmiah ini telah menghimpunkan 60 orang peserta yang terdiri daripada 47 lelaki dan 13 perempuan, merangkumi pelbagai lapisan penggerak hal ehwal Islam seperti kader JAKIM, guru takmir, imam kariah/rawatib serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam. Kehadiran peserta yang pelbagai ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kefahaman fiqh berasaskan disiplin ilmu yang sahih dan berautoriti.

Penganjuran daurah ini bertujuan memperkukuh penguasaan peserta terhadap manhaj ulama mazhab Syafi‘i dalam berinteraksi dengan hadith sebagai sumber hukum. Antara objektif utama program ini ialah memberikan kefahaman mendalam mengenai kaedah penghujahan hadith dalam pembinaan hukum, menjelaskan aspek takhrij serta penilaian darjat hadith, di samping memperincikan pendekatan ulama Syafi‘iyyah dalam berhadapan dengan hadith sahih, hasan dan da‘if dalam kerangka fiqh.

Selain itu, program ini turut menekankan prinsip tarjih dalam mazhab Syafi‘i apabila berlaku pertentangan zahir antara dalil, di samping menghubungkan antara nas-nas hadith dengan amalan fatwa semasa. Pendekatan ini bertujuan melahirkan peserta yang mampu beramal dengan penuh keyakinan berteraskan disiplin ilmu yang mantap, serta memahami bahawa pegangan mazhab bukanlah bersifat taklid semata-mata, sebaliknya merupakan metodologi ijtihad yang berpaksikan dalil syarak.

Daurah ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan yang tidak asing lagi di bumi Sabah iaitu Profesor Madya Dr. Umar Muhammad Noor dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaysia Sabah (UMS). Beliau telah mengendalikan enam slot pengisian utama yang merangkumi perbahasan Kitab Bersuci dan Kitab Solat secara berperingkat dan sistematik, sekali gus memberikan pencerahan mendalam terhadap aplikasi hadith dalam kedua-dua bab tersebut.

Sebagai nilai tambah, para peserta turut dibekalkan dengan nota rujukan yang komprehensif bagi menyokong proses pembelajaran dan penghayatan ilmu. Program ini diakhiri dengan majlis penyampaian sijil kepada para peserta, yang telah disempurnakan oleh Ustaz Mizzuan bin Jafilus, Pengarah ILIM Kampus Lahad Datu, JAKIM.

Secara keseluruhannya, penganjuran daurah ini dilihat berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkasa kefahaman ilmu hadith hukum dalam kerangka mazhab Syafi‘i, seterusnya menyumbang ke arah pemantapan amalan beragama yang lebih berdisiplin, berautoriti dan berlandaskan dalil yang sahih.