ILIM Bangi - 29hb April 2026 - Seksyen Perundangan Syariah, Program Pengurusan Hal Ehwal Islam (PPHEI), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi telah berjaya menganjurkan Kursus Komprehensif Nikah, Cerai dan Rujuk yang telah berlangsung pada 27hb - 29hb April 2026 menggunakan Modul Rundingcara Kekeluargaan Islam dan Modul Syariah dan Kehakiman. Seramai 40 orang telah menyertai kursus ini yang terdiri daripada Jabatan Agama Islam Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, Agensi-agensi agama, dan skim lain.
Objektif utama penganjuran kursus adalah bagi meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan kesedaran peserta berkaitan kepentingan pengurusan nikah, cerai dan rujuk yang berkuatkuasa di Malaysia serta berupaya mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan berkaitan dengan secara lebih baik.
Beberapa slot pengisian diketengahkan sepanjang kursus. Slot ceramah merangkumi bidangkuasa Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, prosedur pembubaran perkahwinan, kesalahan yang berkaitan dan penalti oleh pihak mahkamah, tuntutan-tuntutan perceraian di mahkamah dan Akta Keganasan Rumahtangga 1994. Penceramah yang berpengalaman luas dan telah berkongsi ilmu adalah terdiri daripada Tuan Ab.Khawi bin Che Abdul Rahman selaku Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Negeri Sembilan, Yang Arif Dr. Zainal Abidin bin Kusmin selaku Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor dan En.Saiful Bahari bin Mohd Said selaku Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kebajikan Masyarakat Putrajaya.
Peserta kursus memberikan maklumbalas yang sangat positif terhadap kursus yang telah dijalankan dan berharap kursus sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.
ILIM mengharapkan agar para peserta yang telah mengikuti kursus ini dapat mengaplikasikan segala ilmu, kemahiran serta nilai yang diperoleh dalam tugasan harian mereka. Kursus ini juga dapat menyumbang ke arah pengurusan perkahwinan yang lebih sistematik, adil dan berlandaskan syariah sekaligus memperkukuh institusi kekeluargaan Islam di Malaysia.




