Bangi, Selangor – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Kursus Bahasa Arab (Memahami Al-Quran) bermula 21 hingga 23 April 2026 bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan membentuk sikap peserta dalam memahami ayat-ayat al-Quran melalui penguasaan asas bahasa arab. Kursus ini memberi penekanan kepada kefahaman perkataan, struktur ayat serta konsep tadabbur agar peserta tidak hanya membaca, tetapi mampu memahami dan menghayati makna ayat al-Quran dalam kehidupan seharian.
Kursus ini dihadiri seramai 30 peserta terdiri daripada JAKIM, KAGAT dan Kementerian/ Jabatan. Pendekatan kursus merangkumi ceramah, refleksi diri diskusi interaktif di antara peserta kursus dan penceramah.
Slot kursus dikendalikan sepenuhnya oleh Prof. Madya Dr. Azlan Shaiful Baharum yang merupakan pensyarah bahasa arab di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Antara pengisian kursus ialah pengenalan bahasa arab dalam memahami al-quran, asas perkataan arab dalam al-quran, struktur ayat mudah dalam al-Quran, teknik memahami ayat al-Quran secara mudah dan tadabbur ayat pilihan al-Quran.
Dalam memperkasa aspek penghayatan, slot aplikasi dalam ibadah harian memberi penekanan kepada kefahaman makna bacaan dalam solat dan zikir bagi meningkatkan kekhusyukan. Kursus diakhiri dengan slot refleksi dan penghayatan yang memberi ruang kepada peserta menilai kefahaman serta membina komitmen untuk terus mendalami bahasa Arab dan Al-Quran secara berterusan.
Diharapkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh akan melahirkan lebih ramai individu yang mampu memahami dan menghayati al-Quran dengan lebih mendalam. Selain itu, diharapkan peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam kehidupan seharian serta menjadi agen penyebaran kefahaman al-Quran dalam masyarakat.



