Lahad Datu, 25 Februari 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Lahad Datu, dengan jayanya telah menganjurkan Kursus Kemahiran Jawi Alam Melayu (Secara Dalam Talian) pada 24 hingga 25 Februari 2026 (Selasa hingga Rabu). Kursus ini telah berlangsung di Bilik Mesyuarat, ILIM Kampus Lahad Datu.
Penganjuran kursus ini bertujuan memperkasakan literasi tulisan Jawi dalam kalangan guru Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia, guru KAFA dan terbuka kepada penjawat awam dengan menekankan aspek pengejaan, penulisan dan pembacaan yang berpaksikan kepada kaedah dan teknik yang sahih serta terkini. Di samping itu, kursus ini turut membangkitkan kesedaran terhadap warisan khazanah Jawi yang menjadi sebahagian penting dalam identiti dan sejarah peradaban Melayu-Islam.
Kursus ini telah berjaya menghimpunkan seramai 1100 orang peserta, kalangan guru Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia, guru KAFA dan terbuka kepada penjawat awam dari seluruh negeri sabah dan semenanjung malaysia. Kehadiran para peserta ini mencerminkan komitmen tinggi dalam memperkukuh penguasaan tulisan Jawi di peringkat akar umbi.
Penceramah jemputan, Ustaz Herwan bin Harun, merupakan seorang tokoh berwibawa dalam bidang pendidikan Jawi. Beliau adalah Guru Munsyi Jawi dan Guru Pendidikan Islam dari SK Pengiran Jaya Pimping, Membakut, Sabah, yang memiliki pengalaman luas dan kepakaran mendalam dalam bidang ini.
Sepanjang kursus, para peserta telah menunjukkan tahap penglibatan dan interaksi yang amat memberangsangkan. Mereka turut melahirkan harapan agar program sebegini dapat dilaksanakan secara berterusan dan meluas, demi memastikan kesinambungan serta keberlangsungan tulisan Jawi dalam sistem pendidikan dan masyarakat umum.
Kursus ini diharap dapat menyuntik semangat baharu serta meningkatkan kompetensi para pendidik dalam menyampaikan ilmu Jawi secara lebih berkesan, sistematik dan kontemporari.




