Kajang, 10 Mac 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan program “ILIM Outreach Perunding Latihan @ Penjara Kajang” sebagai usaha memperkasa kompetensi dan jati diri Perunding Latihan ILIM dalam melaksanakan latihan yang berteraskan nilai insaniah dan rahmah.
Program kerjasama strategik antara ILIM dan Jabatan Penjara Malaysia ini telah memberi peluang kepada para Perunding Latihan ILIM untuk memperoleh pengalaman berinteraksi secara langsung bersama Prospek Penjara Kajang, sekaligus meningkatkan kefahaman terhadap realiti pemulihan insan selaras dengan misi ILIM dalam usaha memperkasa pembangunan insan berteraskan nilai Islam.
Program ini turut dihadiri oleh Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal dan telah disambut oleh Pengarah Penjara Kajang, YDh. TKP Mohd. Sharin bin Hj. Sabtu, mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam menyokong inisiatif pembangunan insan dan pemerkasaan nilai insaniah melalui pendekatan latihan.
Antara pengisian utama program ialah sesi “Feel Good Story”, iaitu perkongsian pengalaman perubahan diri oleh Prospek Penjara Kajang. Program dimulakan dengan aktiviti ice breaking untuk mewujudkan suasana interaksi yang lebih santai antara Perunding Latihan ILIM dan Prospek Penjara Kajang, kemudiannya disusuli dengan aktiviti diskusi tadabbur dalam kumpulan dan refleksi nilai. Perunding Latihan ILIM berperanan sebagai pemudah cara yang mendengar secara empati dan mengemukakan soalan reflektif bagi mengaitkan pengajaran dan nilai kehidupan.
Melalui program ini, Perunding Latihan ILIM berpeluang meningkatkan kepekaan insaniah, kemahiran refleksi nilai serta memperkukuh profesionalisme dalam membimbing peserta latihan. Program ini menunjukkan pendekatan ILIM yang bukan sahaja menumpukan kepada pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga pembentukan jati diri yang berteraskan nilai insaniah dan rahmah.





