Bangi, 19 Jun 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) JAKIM Kampus Utama Bangi, Selangor melalui Seksyen Akidah dan Pemikiran Islam, Program Teras ILIM telah berjaya melaksanakan Kursus The Art Of Interfaith Dialogue yang berlangsung selama 3 hari bermula pada 17 sehingga 19 Jun 2025.
Kursus ini adalah bermatlamat antara lainnya memberi imput kepada peserta berkaitan konsep dialog antara agama dari perspektif Islam selaras dengan Al-Quran dan Al-Sunnah. Peserta juga dilatih mengaplikasi kemahiran dialog antara agama untuk memupuk hubungan harmoni antara masyarakat pelbagai agama. Seramai 30 orang Pegawai Hal Ehwal Islam pelbagai gred dari JAKIM, JAIN, MAIN Jabatan Mufti, KAGAT dan lain lain skim telah menyertai kursus ini.
Seramai lima orang penceramah yang pakar dalam bidang perbandingan agama dan dialog antara agama telah dijemput untuk berkongsi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman masing-masing. Mereka adalah Prof. Madya Dr. Jaffary Awang (UKM), Prof. Madya Dr. Haslina Ibrahim (UIAM), Prof. Madya Dr. Haslina binti Ibrahim (UIAM), Dr. Yusri bin Mohamad Ramli (UKM) dan Dr. Wan Mohd Fazrul Azdi bin Wan Razali (USIM).
Kursus ini turut menjelaskan mengenai kepentingan aktiviti dialog antara agama yang berterusan bagi mencegah sebarang salah faham dan perselisihan yang kerap berlaku di dalam masyarakat. Berbagai isu salah faham telah pun berlaku sebelum ini seperti Isu Penggunaan Kalimah Allah, Isu Modul Hadis 40 An-Nawawi, Isu Penggunaan Tulisan Jawi dan sebagainya yang wajar diselesaikan dengan kaedah dialog secara harmoni.
Negara kita yang berbilang kaum dan agama sentiasa terdedah kepada perselisihan dan konflik yang boleh menggugat perpaduan. Semoga kursus ini sedikit sebanyak telah dapat memperlengkapkan peserta dengan persediaan ilmu, kesedaran dan kemahiran yang dapat diaplikasikan apabila mereka pulang ke agensi dan komuniti masing-masing.



