Bangi, 18 Jun 2025 – Seramai 30 mahasiswa Kelab Astrofiqh Universiti Sains Islam Malaysia dan dua (2) pensyarah iaitu Prof. Madya Dr. Mualimin Mochammad Sahid (Penasihat Kelab Falak USIM) dan Puan Salmah Abu Hasan (Pensyarah Falak,FSU,USIM) turun padang dalam sebuah jaulah ilmu yang menginspirasikan dengan menyantuni Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM). Misi mereka jelas umtuk menyelami integrasi bidang falak serta memperkukuh jaringan akademik bersama pakar-pakar di ILIM.
Rombongan disambut mesra di Auditorium Al-Ghazali, membuka tirai kepada sesi petang yang sarat dengan ilmu dan inspirasi melalui tayangan video korporat ILIM dan FALCOM telah membuka cakrawala pemikiran pelajar.
Ucapan aluan mewakili Pengarah Kanan ILIM telah disampaikan oleh Puan Norhayati binti Jaffri, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Dasar Latihan ILIM dengan mengangkat peri pentingnya pemerkasaan bidang falak dalam konteks semasa sebagai langkah strategik dalam membina modal insan Islamik berdaya saing. Kemuncak jaulah ini diteruskan dengan taklimat padat mengenai pendekatan latihan ILIM serta pengalaman dalam melahirkan pelapis berkemahiran tinggi dalam sains Islam.
Lebih menarik, sesi soal jawab membuka ruang dialog terbuka dengan menyaksikan pertanyaan-pertanyaan tajam dari peserta yang jelas menunjukkan minat tinggi dalam penyelidikan falak dan isu kontemporari. Sebelum bersurai, kenangan dipahat menerusi sesi bergambar dan penyampaian cenderahati. Rombongan turut dibawa melawat galeri Syeikh Abdul Aziz An-Nayyiri, FALCOM dan Al-Mizwalah (Jam Matahari) yang mana mereka dapat melihat sendiri bagaimana instrumen falak diaplikasikan dalam menentukan tarikh, waktu dan arah sebagai pedoman ibadah umah Islam.



