LANGKAWI, 15 MEI 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah melakar sejarah dengan merasmikan Video Tadabbur Alam Langkawi UNESCO Global Geopark dalam majlis gilang-gemilang yang diadakan di Auditorium Kompleks LADA.
Program Tadabbur Alam Langkawi merupakan inisiatif terbaharu ILIM dan LADA yang menggabungkan pendidikan spiritual Islam dengan keunikan geologi Langkawi. Melalui lima dimensi utama – Burung Helang, Tasik Dayang Bunting, Hutan Paya Bakau, Batu Kapur & Fosil serta Gunung Machinchang – program ini mengajak masyarakat merenungi kebesaran Allah SWT melalui alam ciptaan-Nya.
YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar menegaskan, “Ini bukan sekadar pelancongan, tetapi medium dakwah kontemporari untuk menyentuh jiwa semua lapisan, termasuk pelancong antarabangsa.”
Terkini, video Tadabbur Alam yang dihasilkan ILIM akan menjadi rujukan utama dalam promosi Islamic Tourism di Langkawi. Ia memaparkan gabungan visual memukau dengan narasi berpaksikan ayat al-Quran dan Hadis, sesuai dengan teras Agenda al-Falah ILIM.
Hadir sama, Pengarah Kanan ILIM, Puan Nor Safina Zainal dan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid.
Semoga usaha ini dapat mengangkat martabat langkawi sebagai pusat pelancongan islam terkemuka di negara ini.




