Bangi, 14 Mei 2025 – Dalam usaha menyemak semula landskap pentadbiran Islam negara, Seminar Siyasah Syar’iyyah dan Reformasi Pentadbiran anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) tampil dengan tema: “Reset dan Reform”.
Seminar ini menghimpunkan seramai 300 orang peserta dari pelbagai agensi kerajaan Negeri dan Persekutuan termasuk kalangan pemikir dasar, pegawai agama, akademik dan juga pihak berotoriti dan berkepentingan dalam satu platform strategik untuk mengolah semula pendekatan tadbir urus Islam secara lebih segar, progresif berpandukan maqasid syariah.
Tiga pembentang tampil membentangkan naratif penting untuk masa depan pentadbiran negara iaitu YB Senator Dr. Zulkifli bin Hassan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dengan tajuk “Reformasi Pentadbiran: Mencontohi Legasi Khilafah”, yang telah menekankan keperluan menstruktur dasar dan sistem pengurusan Islam berdasarkan prinsip hikmah, keadilan dan amanah. YBhg. SS Datu Haji Kipli bin Haji Yassin, Mufti Sarawak pula telah mengupas tajuk “Reformasi AI: Siyasah Syariyyah: Mengimbangi antara Maslahah dan Mafsadah”, yang membuka ruang baharu dalam menangani gelombang kecerdasan buatan dengan berpandukan disiplin siyasah syar’iyyah. Seterusnya melalui pembentangan ketiga bertajuk “Siyasah Syar’iyyah: Menyerlah Excellence With A Soul”, YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM, telah menegaskan kepentingan merenung semula nilai spiritual dan etika dalam pentadbiran. Beliau turut menyeru agar nilai-nilai ini dizahirkan dalam bentuk pembaharuan yang mampu memberikan impak besar serta lestari kepada organisasi dan masyarakat."
ILIM mengharapkan agar seminar ini menjadi pencetus kepada pembaharuan pentadbiran Islam di Malaysia yang memfokuskan ke arah sistem yang lebih inklusif, responsif terhadap teknologi dan digerakkan oleh nilai. Gabungan legasi sejarah, cabaran digital serta roh kepimpinan berteraskan nilai Islam dijadikan asas kepada pelan tindakan masa depan yang lebih mampan, strategik, beretika dan berjiwa ummah.





