Jakarta, 9 Mei 2025 — Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah mengadakan Lawatan Kerjasama Strategik ke Indonesia bermula 5 hingga 9 Mei 2025 bagi meneroka peluang kerjasama baharu dalam bidang latihan dan pembangunan modal insan selari dengan matlamat memperkukuh hubungan bilateral serta sinergi keilmuan antara Malaysia dan Indonesia.
Lawatan ini turut diselaraskan dengan kerjasama erat oleh Ustaz Mohd Shamsuri bin Ghazali, Atase Agama JAKIM merangkap First Secretary (Religious Affairs) di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara institusi keagamaan kedua-dua negara.
Delegasi ILIM yang diketuai oleh Pengarah Kanan, Puan Nor Safina binti Zainal bersama tiga pegawai kanan telah memulakan lawatan dengan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Indonesia, TYT Dato’ Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin. Seterusnya, delegasi mengadakan pertemuan rasmi dengan Prof. Dr. H. Muhammad Ali Ramdhani, S.TP., M.T., Kepala Badan Moderasi Beragama dan Pengembangan Sumber Daya Manusia (BMBPSDM), serta kunjungan hormat kepada Dr. H. Thobib Al Asyhar, S.Ag., M.Si., Direktur Guru dan Tenaga Kependidikan (GTK) Madrasah di bawah Direktorat Jenderal Pendidikan Islam, Kementerian Agama Republik Indonesia.
Delegasi turut mengadakan lawatan strategik ke Universitas Islam Bandung (UNISBA), Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Studio TV Muhammadiyah serta Malaysian Hall Jakarta. Lawatan disusuli dengan ziarah ke Masjid Istiqlal yang menjadi simbol perpaduan, toleransi dan kemegahan umat Islam di Indonesia.
Lawatan kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen ILIM sebagai peneraju pelatihan Islam negara dalam memperluas jaringan serantau berteraskan nilai MADANI seperti hormat, amanah, daya cipta dan ihsan—ke arah pembangunan masyarakat Islam yang progresif, bersatu dan sejahtera.






