Kundasang, 27 April 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Kundasang dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI), ILIM Kampus Utama, telah berjaya menganjurkan Kursus Aspirasi Madani: Pesona Jati Diri Siri 2/2025 selama tiga hari dua malam bermula pada 25 hingga 27 April 2025. Kursus ini melibatkan penyertaan seramai 38 orang Setiausaha Pejabat dan Pembantu Operasi dari pelbagai Bahagian JAKIM.
Objektif utama kursus ini adalah untuk memperkasakan peranan dan tanggungjawab Setiausaha Pejabat serta Pembantu Operasi dalam menyokong Aspirasi Madani dalam perkhidmatan awam. Di samping itu, kursus ini turut bertujuan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan kerja dalam organisasi, serta menerapkan nilai-nilai Islam sebagai budaya kerja ke arah pembentukan sikap positif, profesionalisme dan integriti.
Sepanjang kursus, para peserta telah mengikuti pelbagai pengisian seperti sesi ceramah, latihan berkumpulan serta aktiviti interaktif yang memberi fokus kepada pengukuhan peranan masing-masing, pemupukan semangat cintakan organisasi, semangat kerjasama serta transformasi diri ke arah kecemerlangan.
Majlis penutupan kursus telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM. Dalam ucapannya, beliau menegaskan kepentingan peranan Setiausaha Pejabat dan Pembantu Operasi dalam memastikan kelancaran operasi organisasi. Beliau turut menyeru agar ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang kursus ini dapat diterapkan dalam tugasan harian bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.
Secara keseluruhannya, kursus ini telah mencapai objektif yang ditetapkan serta menerima maklum balas yang amat positif daripada para peserta. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dalam usaha memperkukuh budaya kerja berteraskan nilai profesionalisme dan integriti dalam perkhidmatan awam.