Bangi, 25 April 2025 – Kursus Profesionalisme Imam anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi telah berjaya dilaksanakan pada 23 hingga 25 April 2025.
Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada pegawai skim perkhidmatan Hal Ehwal Islam dari peringkat Persekutuan dan Negeri serta Pegawai Takmir Negeri dari seluruh Malaysia telah menyertai kursus ini. Objektif utama kursus adalah untuk meningkatkan tahap profesionalisme imam dalam aspek kepimpinan, pemikiran strategik, pengurusan dan pentadbiran masjid, di samping memperkasakan peranan imam sebagai pemimpin komuniti.
Peranan imam masa kini dilihat semakin luas — bukan sekadar memimpin solat, tetapi juga berfungsi sebagai pemimpin masyarakat yang bijaksana, progresif, serta empati terhadap keperluan komuniti. Profesionalisme dalam kepimpinan agama serta kemampuan berfikir secara strategik untuk membawa transformasi diri dan organisasi merupakan kunci untuk menjadikan institusi imam lebih mesra dan dekat di hati masyarakat.
Kursus ini telah menampilkan penceramah pakar dari pelbagai agensi, antaranya:
YBhg. Dato’ Mohd Zaidi bin Ramli (MyHac)
YBrs. Dr. Haji Ruslan bin Said (ILIM, Kampus Utama Bangi)
YBrs. Dr. Mohd Shahid bin Mohd Noh (Universiti Malaya)
YBrs. Dr. Khazri bin Osman (Universiti Kebangsaan Malaysia)
YBrs. Tuan Haji Nik Abdul Rahman bin Mustapha (Ahli Jawatankuasa Falak Wilayah Persekutuan)
YBrs. Tuan Haji Mohd Roska bin Mohamed Rasidek (ILIM, Kampus Utama Bangi)
Semoga segala ilmu yang diperoleh sepanjang kursus ini dapat dimanfaatkan dan diaplikasikan dengan semangat baharu oleh para peserta dalam usaha memperkukuh peranan imam sebagai pemimpin yang dinamik, relevan dan sentiasa dekat di hati umat sepanjang zaman.