Bangi, 23 Januari 2025 – Dalam usaha memperkukuhkan pemahaman dan aplikasi kaedah-kaedah fiqh turath dalam pengurusan hal ehwal Islam, seramai 56 peserta dari pelbagai agensi telah menyertai Kursus Kelestarian Fiqh Turath yang berlangsung dari 21 hingga 23 Januari 2025 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi. Kursus ini dirangka khusus untuk memberi pendedahan mengenai kemahiran membaca, memahami, dan mengaplikasikan kaedah-kaedah fiqh berdasarkan kitab Al-Asybah Wan-Nadzâir fî Qawâ'idi Wa Furu'i Fiqhi As-Syafi'iyah karya Imam Jalaluddin Aburahman bin Abi Bakr As-Suyûthi.
Dengan penyertaan pegawai daripada pelbagai latar belakang, kursus ini menggabungkan pendekatan holistik yang menyatukan warisan keilmuan Islam dengan teknologi terkini. Ia disusun untuk membantu peserta meningkatkan kompetensi bukan sahaja dalam memahami fiqh turath, tetapi juga dalam mengaplikasikannya secara praktikal bagi menyelesaikan cabaran kontemporari. Kursus ini bertujuan mencapai tiga objektif utama, iaitu meningkatkan kemahiran membaca teks fiqh turath, memperkukuhkan pemahaman terhadap kaedah-kaedah fiqh, dan mengasah kebolehan peserta mengaplikasikan kaedah tersebut dalam pengurusan hal ehwal Islam. Tambahan pula, kursus ini menekankan integrasi kaedah fiqh dengan teknologi moden, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Pelbagai sesi menarik telah dianjurkan termasuk ceramah, latihan praktikal, dan sesi perbincangan. Antara penceramah undangan ialah Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Abdul Majid dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang membimbing peserta melalui beberapa slot penting seperti pemahaman fiqh turath dalam aplikasi semasa dan implikasi teknologi AI terhadap kaedah-kaedah fiqh. Sesi terakhir kursus pula dikendalikan oleh Ts Dr. Norita Md Norwawi yang memberi tumpuan kepada kebolehgunaan teknologi AI dalam penyelidikan dan pengurusan hal ehwal Islam.
Kursus tiga hari ini diakhiri dengan majlis penutupan dan penyampaian sijil kepada para peserta. ILIM berharap kursus ini dapat memperkasakan pegawai dalam memanfaatkan fiqh turath untuk menyelesaikan cabaran semasa secara efisien dan berkesan.