Bangi, 23 Januari 2025 - Dalam usaha memperkenalkan pendekatan inklusif dalam pembelajaran Al-Quran, Seksyen Tarbiyah dan Tadribiyah (ILIM) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Kursus i-SIGN OKU Pendengaran (Al-Quran), yang berlangsung pada 21 hingga 23 Januari 2025 di Bilik Kuliah Qadir Al- Jailani Blok Akademik A,ILIM Kampus Utama Bangi. Kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta bukan OKU mengenai teknik pengajaran Al-Quran menggunakan bahasa isyarat, khususnya untuk golongan OKU pendengaran.Program ini menarik perhatian pelbagai individu yang berminat untuk mendalami aspek pembelajaran Al-Quran secara lebih inklusif, dengan memberi fokus kepada golongan OKU pendengaran. Para peserta daripada pelbagai latar belakang ini diberikan peluang untuk mempelajari kaedah pengajaran Al-Quran yang boleh membantu mereka berkomunikasi dengan golongan OKU pendengaran di masa depan.
Seramai 34 orang peserta terdiri dari warga JAKIM,JAIN,MAIN,KPM, dan pelbagai jabatan lain berkaitan telah menyertai kursus Kursus ini bertujuan untuk mendedahkan kepada peserta mengenai pembelajaran Al-Quran kepada komuniti OKU pendengaran.Antara faktor kepentingan Al-Quran untuk komuniti OKU pendengaran adalah meningkatkan akses spiritual iaitu Al-Quran merupakan sumber pedoman hidup bagi umat Islam.
Pembelajaran Al-Quran memberi peluang kepada golongan OKU pendengaran untuk lebih dekat dengan agama, memahami ajaran Islam, dan melaksanakan ibadah dengan lebih baik.Selain itu, ianya adalah untuk meningkatkan komunikasi dengan Allah, walaupun mereka tidak dapat mendengar dengan teliti, golongan ini masih boleh berhubung dengan Allah melalui bacaan Al-Quran menggunakan teknik lain seperti membaca tulisan Braille atau menggunakan teknologi bantuan seperti aplikasi yang menyampaikan teks secara visual.Pembelajaran Al-Quran juga dapat membantu golongan OKU pendengaran meningkatkan kecerdasan spiritual dan emosi mereka. Ia juga memberi mereka ruang untuk berfikir, bermeditasi, dan merasai ketenangan melalui tafsiran yang mereka boleh fahami.
Dengan memberi mereka peluang untuk mempelajari Al-Quran, kita menunjukkan bahawa golongan OKU pendengaran turut mempunyai hak yang sama dalam mendapatkan ilmu agama. Ini memperkuatkan nilai inklusiviti dalam masyarakat Islam.Dan yang terakhir pembelajaran Al-Quran memberikan mereka pemahaman yang lebih mendalam tentang ajaran Islam, yang membolehkan mereka melaksanakan kewajipan agama seperti solat, puasa, dan lain-lain dengan lebih baik.
Kursus ini dipimpin oleh Dr. Haji Norakyairee bin Mohd Raus bersama Prof.Madya Dr.Nurul Asiah Fasehah binti Muhammad, Dr. Siti Fatimah Mohd Tawil, Dr. Shah Rizul Izyan Zulkiply, Ustazah Siti Ramna Khamaruddin dan Cikgu Noordin Hassan (OKU Pekak).Kursus ini juga turut dibantu oleh 4 orang fasilitator iaitu Cikgu Ku Habsah Ku Sulong (OKU Pekak), Ustazah Mim Tasnim Rebi, Ustazah Nur Najiyah Muhamad Yusuf, dan 4. Ustaz Ahmad Hafiz Azamudden Rumandang dari Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut memberi pengajaran dalam bentuk latihan dalam kumpulan (LDK) pada hari kedua dan ketiga kursus tersebut.
Semoga para peserta perintis pada kali ini akan memanfaatkan ilmu yang diperolehi dari Kursus i-Sign OKU Pendengaran (Al-Quran) sebagai satu ilmu yang bermanfaat serta boleh mempraktikkan di jabatan masing-masing. Semoga berjumpa lagi.