Bangi, 22 Januari 2025 – Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) telah mengadakan lawatan kerja ke Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi, dengan tujuan untuk mempelajari format dan pendekatan modul-modul latihan yang ditawarkan oleh ILIM.
Lawatan ini dipimpin oleh Tuan Haji Fakhruddin bin Abd Rahman, Pegawai Tadbir, MAIPP bersama dua orang pegawai dari MAIPP.
Ketibaan rombongan disambut oleh Pengarah Kanan ILIM, Puan Nor Safina Zainal, bersama barisan pegawai yang bertanggungjawab dalam merangka dan mengendalikan program-program latihan di ILIM.
Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat ringkas mengenai sejarah, visi, dan misi ILIM, yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti latihan dalam hal ehwal Islam di seluruh Malaysia. Puan Nor Safina Zainal memberi penjelasan terperinci mengenai pelbagai modul latihan yang ditawarkan oleh ILIM seperti latihan kepimpinan Islam, Smart Ukuhwah dan lain-lain lagi.
Tuan Haji Fakhruddin bin Abd Rahman, menyatakan, “Lawatan ini memberi kami peluang untuk lebih memahami format dan pendekatan modul-modul latihan yang dilaksanakan oleh ILIM. Kami berharap agar MAIPP dapat mencontohi dan mengadaptasi beberapa elemen daripada modul-modul ini untuk meningkatkan keberkesanan program latihan yang dijalankan di Pulau Pinang, terutamanya dalam membangunkan potensi pegawai dan staf dalam pengurusan hal ehwal Islam.
Dengan adanya lawatan kerja ini, kedua-dua pihak berharap hubungan kerjasama antara MAIPP dan ILIM akan terus berkembang, serta memberi impak positif kepada pembangunan latihan hal ehwal Islam, khususnya di Pulau Pinang.
![](/images/Berita/ILIM_Kampus_Bangi/Berita2025/2025-1/Penang-1.jpg)
![](/images/Berita/ILIM_Kampus_Bangi/Berita2025/2025-1/Penang-2.jpg)
![](/images/Berita/ILIM_Kampus_Bangi/Berita2025/2025-1/Penang-3.jpg)