Bangi, 22 Januari 2025 – Institut Pemberdayaan Ummah Selangor (INSPES) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi, bagi memperkukuh kerjasama dalam mempertingkatkan program latihan dan pembangunan ummah di negeri Selangor.
Lawatan yang berlangsung pada pagi ini melibatkan delegasi daripada INSPES yang diketuai oleh Pengurusnya, Tuan Haji Zakaria Othman, bersama beberapa pegawai kanan. Ketibaan rombongan disambut mesra oleh Pengarah Kanan ILIM, Puan Nor Safina Zainal, bersama barisan pegawai yang turut berkongsi maklumat berkaitan visi, misi, fungsi, serta program latihan yang dijalankan oleh ILIM.
Sesi perbincangan dan perkongsian ilmu antara kedua-dua pihak berlangsung secara interaktif, dengan fokus utama adalah pada pembangunan latihan, modul, pengurusan organisasi, dan usaha-usaha dalam memperkasakan pengurusan hal ehwal Islam.
Tuan Haji Zakaria Othman berkata, “Lawatan ini adalah peluang bagi kami untuk melihat lebih dekat bagaimana ILIM menguruskan latihan-latihan dan pembangunan modul yang mana kami percaya dapat memberi manfaat besar kepada pegawai hal ehwal Islam di Selangor.”
Selain daripada sesi taklimat dan perbincangan, delegasi turut dibawa melawat Falak Competency Training Center (FALCOM) galeri yang mengkhususkan kepada kompetensi falak dan astronomi Islam.
Dengan adanya lawatan ini, diharapkan hubungan yang terjalin antara INSPES dan ILIM dapat memberi impak positif dalam memperkasakan pembangunan ummah melalui pendidikan dan latihan yang lebih berkesan, selaras dengan hasrat negara untuk melahirkan masyarakat yang berilmu dan bertaqwa.