WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Lahad Datu, 25 April – Program Kecemerlangan Pengurusan Hal Ehwal Islam (PKPHEI), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu, JAKIM telah menganjurkan Kursus Road To Barzakh yang berlangsung selama tiga hari dua malam, bermula pada 23 hingga 25 April 2024.

Objektif utama di sebalik penganjuran kursus ini adalah untuk melahirkan individu yang berkemampuan dalam menguruskan jenazah bagi melengkapi keperluan fardu kifayah dalam masyarakat Islam, juga meningkatkan kemahiran dalam pengurusan jenazah melalui pendedahan secara lengkap dan mencakupi aspek teori dan praktikal, seterusnya merungkai kekeliruan yang berlaku dalam pengurusan jenazah, sama ada tuntutan syarak mahupun adat semata-mata.

Seramai 45 orang peserta telah menghadiri kursus ini yang terdiri daripada penjawat awam dan masyarakat awam. Para peserta juga memberi respon yang sangat positif semasa pembelajaran dan memberi komitmen penuh semasa program berjalan.

Lima orang penceramah telah diundang sebagai tenaga pengajar sepanjang berlangsungnya kursus ini. Antaranya, Ustaz Dzulhelmi bin Mohd Noh, Ustaz Mohd Al Aliuddin Atal bin Hisyamuddin, Ustaz Mohammad Imran bin Yusuf, Ustazah Ruhanah binti Radin dan Ustaz Muhammad Yunus Bin Abu. Semua penceramah adalah berkepakaran tinggi dan berpengalaman luas, lebih-lebih lagi dalam bidang yang berkaitan dengan pengurusan jenazah.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, pengurusan jenazah merupakan fardu kifayah dan ia perlulah diurus dengan ilmu dan kemahiran yang cukup. Hal ini supaya ia dapat dilaksanakan menurut kehendak dan tatacara yang digariskan syarak.

Rata-rata peserta yang ditemui berkata pengisian yang disampaikan sama ada secara teori mahupun amali seperti proses memandikan, mengkafankan sehingga solat jenazah telah difahami dengan jelas sekali gus berjaya mencapai objektif yang disasarkan.

Semoga dengan terlaksananya kursus ini membuahkan manfaat dan kebaikan yang besar kepada para peserta dalam memenuhi tuntutan fardu kifayah ini sekali gus membentuk individu yang bertindak dengan ilmu yang sarat di dada, bukan ikutan semata-mata.