WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

BANGI 25 April 2024 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi melalui Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI) dengan kerjasama Seksyen Teknologi Maklumat, Cawangan Khidmat Pengurusan ILIM telah menganjurkan Kursus Penyediaan Slaid Persembahan dan Reka Grafik Kreatif selama 3 hari bermula dari 23 hingga 25 April 2024 (Selasa - Khamis). Kursus ini telah disertai 40 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Islam yang berkhidmat di JAKIM/ JAIN/ MAIN/ Agensi di Bawah YB Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Penjawat awam Gred 19-52.

Pelaksanaan kursus ini bertujuan memberi pendedahan dan kemahiran dalam penyediaan rekabentuk dan infografik untuk slaid persembahan jabatan atau bahagian. Penghasilan reka bentuk dan grafik yang menarik, kemas dan mudah difahami dapat membantu memberikan imej yang baik kepada jabatan. Selain itu, ia juga memberi persepsi positif dari aspek kefahaman kepada masyarakat awam terhadap bahan, perkhidmatan dan program-program yang dianjurkan jabatan.

Kursus dikendalikan oleh penceramah atau pemudah cara undangan iaitu Puan Noorlizawati binti Mohd Akil, Pereka Grafik daripada AD Media Bizz Services. Sepanjang tiga (3) hari kursus, peserta telah didedahkan dengan pengenalan, prinsip dan kaedah dalam reka bentuk, sumber-sumber atau bahan untuk penyediaan reka bentuk yang boleh diperolehi melalui web, penggunaan software dan aplikasi Canva dalam menyediakan reka bentuk dan info grafik. Peserta juga diberi tugasan untuk menyediakan reka bentuk backdrop sebagai salah satu latihan serta membuat pembentangan dan perbincangan untuk penambahbaikan hasil tugasan tersebut.

Majlis perasmian penutup kursus ini telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina Zainal, Pengarah Kanan ILIM di Auditorium al-Syafie, ILIM.

Turut hadir sama YBhg. Tuan Haji Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan YBrs. Puan Zaizurina Mansor, Timbalan Pengarah Cawangan Dasar Latihan, ILIM. Penghargaan telah diberi kepada peserta kursus iaitu Tuan Muhammad Amirul Ariff bin Mohd Affandi daripada Angkatan Tentera Malaysia, yang merupakan pencipta rekabentuk backdrop yang digunapakai semasa Majlis perasmian penutup kursus ini berlangsung.

Semoga kursus ini dapat memberi manfaat kepada semua peserta yang menyertai kursus ini.