WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 15 Jun 2023 – Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Utama Bangi dalam proses membangunkan dan memperluas skop modul latihan baharu dalam bidang Penyelidikan falak melalui ilmu Al-Hayáh yang berperanan sebagai salah satu teras kompetensi profesionalisme pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia. Penerokaan ilmu yang diadaptasi daripada ilmu sains tabii ini bagi membentuk pemikiran kreatif dan kepimpinan strategi dalam mendepani cabaran masa kini.

Kursus Kompetensi Profesionalisme Al-Hayáh merupakan Kursus Fungsian Khusus (KFK) bagi pegawai hal ehwal Islam gred S44 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dianjurkan ILIM menerusi Seksyen Penyelidikan dan Pembangunan Islam (R&D), Program Teras telah berjaya dilaksanakan pada 13-15 Jun 2023 bertempat di Bilik Ibnu Khaldun, Blok Akademik A dan Taman Rimba Alam, Putrajaya. Objektif khusus kursus ini menekankan aspek pembangunan kognitif, afektif dan psikomotor dalam pengajaran dan pembelajaran dengan pendedahan mengenai etimologi ilmu Al-Hayáh dalam ketamadunan manusia, kebudayaan langit pribumi malayonesia, penerokaan secara holistik integrasi masyarakat madani dan digitalisasi serta aplikasi menelusuri alam dalam norma sosial.

Penglibatan peserta seramai 21 orang Pegawai Hal Ehwal Islam dari pelbagai penempatan antaranya bahagian-bahagian di JAKIM, Jabatan Agama Negeri, Jabatan Mufti Negeri, Kementerian Perladangan dan Komoditi, JAWHAR dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah memberikan pandangan positif bagi setiap slot dalam modul tersebut. Penampilan penceramah yang kompeten dalam bidang masing-masing iaitu Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham (Universiti Malaysia Pahang) dan Nurul Fatini Jaafar (Sahabat Langit Utara) telah menyumbang perkongsian ilmu secara komprehensif. Turut ditampilkan YBhg. Dato’ Profesor Dr. Mua’ti @ Zamri bin Ahmad dalam slot khas bertajuk Kebangkitan Semula Sains dan Teknologi Alam Melayu dan YBhg. Puan Nor Safina Zainal, Pengarah Kanan ILIM bertajuk Evaluasi Kompetensi Pemikiran Strategi telah melengkapkan versi pertama modul Al-Hayáh.

Pengarah Kanan ILIM turut merasmikan penutupan kursus dengan menitipkan kata-kata semangat “If you change the way you think, you change your life” kepada peserta kursus sebagai aspirasi ke arah pemantapan pengurusan profesional pegawai hal ehwal Islam menerusi panduan al-Quran dan Hadis. Pihak ILIM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Landskap dan Taman, Perbadanan Putrajaya atas erjasama menjalankan aktiviti di Taman Rimba Alam, Putrajaya.