BANGI, 24 April 2025 – Kursus Forensik Keterhutangan Serius anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah berlangsung dengan jayanya selama tiga hari bermula 22 hingga 24 April 2025. Kursus ini telah menghimpunkan seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada penjawat awam pelbagai agensi dan jabatan.
Kursus ini bertujuan untuk menjelaskan konsep asas hutang, serta meningkatkan pengetahuan dan kefahaman peserta terhadap isu keterhutangan serius dalam kalangan penjawat awam. Peserta turut didedahkan kepada kaedah penyelesaian dan pengurusan hutang secara efektif, termasuk aspek restruktur hutang, pendidikan kewangan, pengurusan kredit, dan etika sebagai penjawat awam.
Sepanjang kursus, peserta telah didedahkan kepada pelbagai input praktikal dan analisis kes sebenar melalui pendekatan interaktif, hands-on, dan berasaskan kajian forensik kewangan.
Para penceramah turut menekankan pentingnya ilmu pengurusan kewangan peribadi, pematuhan tatacara kelakuan, serta amalan hidup berintegriti dalam menangani beban hutang.
Menurut salah seorang peserta, Mohamad Azrol bin Mohd Diah kursus ini sangat membantu membuka perspektif baharu tentang pengurusan hutang dan bagaimana penjawat awam boleh bertindak lebih awal sebelum masalah menjadi lebih parah. “Saya lebih jelas sekarang bahawa pengurusan hutang bukan sekadar isu kewangan, tapi isu integriti dan kepercayaan,” ujarnya.
ILIM komited untuk terus menyediakan program latihan yang relevan dan responsif terhadap isu semasa yang berupaya memberi impak kepada penjawat awam dan masyarakat keseluruhannya.



