LAHAD DATU, 26 Mei – ILIM Kampus Lahad Datu melalui Unit Kefahaman dan Kemahiran, buat julung kalinya telah menganjurkan Kursus Training of Trainers Pengendali Jenazah Siri 1 pada 24 hingga 26 Mei 2022. Program selama tiga (3) hari ini bermula berlangsung di Bilik Kuliah Ibnu Rusyd, ILIM Kampus Lahad Datu, JAKIM. Ia disertai 30 orang peserta yang terdiri daripada Penjawat Awam dan Masyarakat Awam Daerah Lahad Datu dan Tungku.
Program ini dikendalikan oleh Pegawai Dakwah MUIS Kinabatangan, Ustaz Olybel Ashley, Penyelia Agama Felda, Ustaz Sabri bin Mat Daud dan Ustaz Yunus bin Abu daripada JHEAINS Lahad Datu yang berpengalaman menyampaikan ceramah dan praktikal kepada para peserta. Sepanjang kursus itu, penceramah berkongsi ilmu dan pengalaman secara teori dan praktikal mengenai cara pengurusan jenazah meliputi aspek mandi, mengkafankan, solat dan pengebumian.
Pengarah Kampus, Ustaz Abdul Mutalib bin Abdul Rahim berkata, pengurusan jenazah adalah sesuatu yang sangat mudah dan bukanlah sesuatu yang rumit seperti sesetengah masyarakat fikirkan. “Kita mahu terapkan masyarakat supaya mengikuti syariat agama dalam hal pengurusan jenazah dan jangan mengamalkan sesuatu yang boleh memesongkan akidah umat islam,” katanya.
“Kursus ini diadakan bertujuan untuk melatih dan memberi kefahaman secara terperinci kepada umat Islam tentang cara pengurusan jenazah yang betul jika berlaku kematian. Selain itu para peserta yang menyertai kursus ini berpeluang menambah ilmu pengetahuan dengan mengajukan soalan-soalan berkaitan pengurusan jenazah, kematian dan lain-lain hal yang berkaitan.” katanya lagi.
Urusan berkaitan kematian khususnya pengurusan jenazah yang bermula dari proses memandikan, mengkafankan sehingga pengebumian perlulah diuruskan dengan ilmu yang cukup supaya ianya dapat dijalankan mengikut syariat Islam dan tatacara penuh adab sebagai penghormatan terakhir kepada si mati. Pengurusan Jenazah dalam Islam merupakan tuntutan Fardhu Kifayah.
Dalam erti kata lain, sesuatu kelompok masyarakat itu perlu melunaskan tanggungjawab menguruskan jenazah jika berlaku kematian di dalam kelompok tersebut. Jika tidak seluruh kelompok masyarakat itu akan menanggung dosa.
Rata-rata peserta yang ditemui berkata pengisian secara teori dan amali seperti proses memandikan, mengkafankan sehingga solat jenazah telah difahami dengan jelas. Majlis penutupan dan penyampaian sijil penyertaan disempurnakan oleh wakil ILIM Kampus Lahad Datu.