JAKIM TERIMA DANA ZAKAT PEMBANGUNAN APLIKASI GLOSARI BAHASA ISYARAT ISLAM
Shah Alam, 26 April 2022 – Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBrs. Encik Aminudin bin Mohamad mewakili JAKIM menerima dana zakat berjumlah RM 181,800.00 bagi Program Sumbangan Pembangunan Aplikasi Glosari Bahasa Isyarat Islam (Ibadah & Akidah) untuk keperluan Orang Kurang Upaya (OKU) Pendengaran.
Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan serta Agihan Zakat anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) tersebut diadakan di Dewan Orkid Wisma PKPS Shah Alam, Selangor. Penyampaian dana disempurnakan oleh Sahibus Samahah Dato’ Dr. Haji Anhar Haji Opir, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor.
Pembangunan Aplikasi tersebut dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan membantu golongan OKU Pendengaran meningkatkan kefahaman mereka terhadap Islam melalui bahasa isyarat Islam dengan lebih tepat.
JAKIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Lembaga Zakat Selangor atas sumbangan tersebut.