Bangi, 14 April – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI) telah mengadakan Program Pengajian Kitab Turath (Falak) Siri Kedua (Secara Dalam Talian) pada 14 April 2022 bersamaan 12 Ramadan 1443H melalui platform Google Meet. Seramai 32 orang peserta telah menghadiri program ini yang terdiri daripada pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM, Jabatan/Pejabat Mufti, JAIN, MAIN dan agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta pegawai yang berpotensi untuk menjadi pakar rujuk dalam bidang falak.
Sehubungan dengan itu, bagi siri kedua ini lebih menumpukan berkaitan mengenali waktu istiwa’ dan waktu Zohor dan Asar mengikut kaedah deskripsi tradisional. Asas hitungan astrometri waktu istiwa’, Zohor dan Asar juga di bincangkan bagi memahami dengan jelas.
Pembelajaran berdasarkan bacaan teks, huraian dan perbincangan mengenai waktu-waktu solat di dalam siri kali ini dibimbing oleh Dr. Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham, Pensyarah Universiti Malaysia Pahang sebagai penceramah program, dengan merujuk kepada Kitab al-Iqna’ fi Hal Alfaz Abi Shuja’ dan Kitab Sabilul Muhtadin. Semoga program ini berjaya mencapai matlamatnya dalam meningkatkan pengetahuan, kefahaman, serta kemahiran kepada para peserta untuk menguasai ilmu falak dan pengajian kitab.