Bangi, 14 Mac – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI) telah mengadakan Program Pengajian Kitab Turath (Falak) Siri Pertama (Secara Dalam Talian) pada hari Khamis bertarikh 10 Mac 2022 bersamaan 7 Syaaban 1443H, jam 9.00 pagi sehingga 11.00 pagi melalui platform Google Meet. Seramai 36 orang peserta telah dipilih menghadiri program ini yang terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM, Jabatan/Pejabat Mufti, JAIN, MAIN dan Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta pegawai yang berpotensi untuk menjadi pakar rujuk dalam bidang falak.
Program ini mengandungi lima (5) siri yang akan dilaksanakan secara bulanan daripada bulan Mac sehingga Julai tahun 2022. Objektif program ini ialah untuk :
- Mempertingkatkan kemahiran Pegawai Hal Ehwal Islam tentang ilmu falak serta mahir menjawab isu-isu semasa.
- Melahirkan Pegawai Hal Ehwal Islam yang mampu mempraktikkan strategi dan pendekatan dalam menyampaikan ilmu berkaitan falak dengan tepat kepada kumpulan sasar secara sistematik.
- Melahirkan Pegawai Hal Ehwal Islam yang mahir dalam bidang ilmu falak dan mampu mengaplikasi ilmu falak mengikut kehendak semasa.
Menerusi siri-siri ini, pembelajaran berdasarkan bacaan teks, huraian dan perbincangan serta soal jawab dibimbingi oleh Dr. Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham, Pensyarah Universiti Malaysia Pahang sebagai penceramah program, dengan merujuk kepada Kitab al-Iqna’ fi Hal Alfaz Abi Shuja’ dan Kitab Sabilul Muhtadin.
Semoga program ini berjaya mencapai matlamatnya dalam meningkatkan pengetahuan, kefahaman, serta kemahiran kepada para peserta untuk menguasai ilmu falak dan pengajian kitab.