KURSUS PEMAHAMAN UNDANG-UNDANG KESALAHAN JENAYAH SYARIAH SECARA DALAM TALIAN (2022)
Bangi,10 Februari - Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi telah mengadakan Kursus Pemahaman Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah Secara dalam Talian.
Kursus ini telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 8 hingga 10 Februari 2022. Objektif kursus ini ialah untuk:
- Memberi pengetahuan mendalam mengenai Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah dan peruntukan-peruntukan yang berhubung dengannya;
- Meningkatkan kemahiran dalam mentafsir, mentadbir dan melaksanakan Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah;
- Membentuk sikap profesionalisme dan komitmen yang tinggi ke arah pelaksanaan Undang-undang Syariah di Malaysia.
Seramai 35 orang peserta telah dipilih menghadiri kursus yang berlangsung selama tiga hari ini. Peserta terdiri daripada pegawai-pegawai Skim Perkhidmatan Hal Ehwal Islam yang mewakili Jabatan Agama Islam Negeri seluruh Malaysia, JAKIM dan Agensi di bawah Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama). Keutamaan diberikan kepada pegawai-pegawai yang berada di Bahagian Penguatkuasaan Syariah. Kursus ini telah mengupas secara terperinci kesalahan-kesalahan jenayah yang terkandung dalam Akta/Enakmen undang-undang Syariah yang sedang berkuatkuasa di Malaysia.
Penceramah yang dijemput dalam kursus ini ialah YA Tuan Shafezan bin Rusli, Pegawai Sulh/Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah, Pulau Pinang. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pendakwaan syariah.
Semoga dengan terlaksananya kursus ini, diharap dapat memberikan manfaat yang besar kepada peserta dalam melahirkan pegawai- pegawai perkhidmatan awam yang kompeten dalam bidang perundangan Islam khususnya serta dapat menyampaikan ilmu dan informasi mengenai undang-undang syariah di Malaysia kepada masyarakat umumnya ke arah melahirkan masyarakat yang cakna undang-undang.