Bangi, 8 Oktober 2021 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan Islam (KKKI) telah mengadakan Kursus Kemahiran Ejaan Jawi Siri 3/2021 yang merupakan siri terakhir secara dalam talian kepada Pegawai-Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI) JAKIM, Kader JAKIM, MAIN, JAIN, agensi di bawah Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) dan penjawat awam pelbagai skim (Gred 29 dan ke atas).
Kursus Siri Ketiga yang diadakan selama dua (2) hari ini antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pegawai berkaitan Sistem Ejaan Jawi dan meningkatkan kemahiran penggunaan tulisan jawi dalam kalangan pegawai mengikut ejaan yang betul serta tepat. Selain itu, kursus ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan kecintaan terhadap tulisan jawi sebagai lambang jati diri bangsa melayu dalam mempertahankan warisan bangsa.
Kursus ini dikendalikan oleh Puan Fadhilah binti Mustapa, yang merupakan seorang Munsyi Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka serta bekas Pengerusi dan Panel penilai Buku Teks Pendidikan Islam Sekolah Rendah dan Panel Penilai Buku Teks KSSMPK mata pelajaran Pendidikan Islam Pendidikan Khas Tingkatan 3. Beliau berpengalaman dalam memberi ceramah berkaitan pemerkasaan jawi kepada guru-guru KPM, guru KAFA dan guru-guru sekolah sama ada kerajaan mahupun swasta di seluruh negeri. Beliau juga merupakan seorang Panel Pembinaan Kurikulum Sekolah Rendah KBSR dan KSSR, Kurikulum j-QAF dan Kurikulum Institut Pendidikan Guru (IPG) semenjak tahun 1998.
Di dalam Kursus Kemahiran Ejaan Jawi Siri Ketiga ini, beliau mengingatkan kembali topik-topik yang telah dibincangkan dalam Siri 1 dan 2 secara ringkas sebelum meneruskan perkongsian mengenai Kata Terbitan, Kata Majmuk, Kata Sendi Nama, Kata Ganti Nama Diri Singkat, Kata Ganda, Partikel, Penulisan Angka dan Lambang Bilangan, Penulisan Akronim dan Singkatan, Penulisan Kata Nama Khas serta Penulisan Tanda Baca. Seramai 65 orang peserta telah menyertai kursus ini secara dalam talian menerusi pautan google meet yang disediakan oleh pihak ILIM.
Semoga kursus ini berjaya memberi pendedahan dan kemahiran kepada para peserta khususnya dalam kemahiran ejaan jawi serta penguasaan penggunaan huruf dalam penulisan jawi dengan betul dan tepat.