Lahad Datu, 22 September - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Lahad Datu, JAKIM telah menganjurkan Kursus Pemahaman Akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaáh Siri 3 Secara Dalam Talian pada 22 September 2021. Kursus ini telah disertai seramai 46 orang peserta yang terdiri daripada Penjawat Awam, Perkhidmatan Hal Ehwal Islam, Penyelia KAFA, Guru KAFA, Kakitangan Pekerja Swasta dan Masyarakat Awam di kementerian/jabatan/agensi/persendirian secara dalam talian melalui aplikasi google meet.
Pelaksanaan kursus ini bertujuan bagi memperkenalkan pegangan Ahli Al-Sunnah Wa Al-Jama’ah, mendedahkan bentuk ancaman aliran yang menyalahi ahli Al-Sunnah Wa Al- Jama’ah terhadap akidah dan keselamatan negara serta membincangkan langkah untuk menangani fahaman yang menyalahi Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jama’ah.
Kursus ini dikendalikan oleh dua orang penceramah iaitu Ustaz Abdul Rahman bin Tajuddin iaitu seorang penceramah berpengalaman. Beliau berkongsi pengetahuan dalam slot Akidah, Syari’ah Dan Akhlaq serta Asas Akidah Islam. Ancaman Luar Dan Dalaman Ahli Sunnah Wal-Jama’ah dan Pemantapan Akidah Ahli Sunnah Wal-Jama’ah. Di samping itu turut memberi peluang kepada peserta untuk sesi soal jawab dan mengeluarkan pendapat masing-masing secara interaktif dalam talian.
Peserta telah memberi maklumbalas yang sangat baik di atas penganjuran kursus kali ini. Semoga kursus ini dapat menambah ilmu, kemahiran dan keyakinan kepada peserta supaya sentiasa berpegang kepada fahaman Akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaáh.