WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 28 September 2021 -  Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI) telah mengadakan Kursus Penulisan Kreatif Dakwah secara dalam talian pada 27 dan 28 September 2021 melalui platform Zoom dan Facebook rasmi ILIM.

Kursus ini diadakan bertujuan memberi kefahaman kepada para peserta mengenai teknik penulisan kreatif, mempertingkatkan kebolehan peserta dalam menghasilkan penulisan dakwah yang berkualiti dan melahirkan pendakwah yang mahir dengan penulisan kreatif dakwah yang terkini, sesuai dengan perkembangan alaf baru. Kursus yang berlangsung selama dua hari ini membincangkan empat (4) slot utama iaitu (Pengenalan) Penulisan Dakwah; (Pemahaman) Penulisan Berimpak; (Pengukuhan) Proses Penulisan : Pra & Penyusunan Penulisan; dan Penilaian.

Perkongsian berkenaan tulisan dan dakwah disampaikan oleh YBhg. Ustaz Pahrol Mohd Juoi yang merupakan Pengarah Modul Fitrah Perkasa Sdn. Bhd.. Beliau juga merupakan mantan ketua editor majalah SOLUSI keluaran Telaga Biru Sdn. Bhd.

Kursus ini telah mencapai kehadiran seramai 123 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai JAKIM, MAIN dan JAIN serta pejawat awam dari pelbagai agensi. Peserta yang hadir sangat responsif sepanjang kursus berlangsung dan telah memberi maklumbalas yang sangat baik. Usaha pembelajaran dan penulisan peserta menerusi kursus ini akan dikompilasikan dalam sebuah e-book.

Semoga kursus yang bermanfaat ini berjaya mencapai matlamatnya dalam memberi pendedahan kepada peserta teknik penulisan dakwah kreatif dan berkualiti serta melahirkan pendakwah yang mahir dengan penulisan kreatif dakwah yang terkini. Memetik kata-kata Ustaz Pahrol Mohd Juoi, tulisan yang berkesan itu apabila menyentuh jiwa (penyelesaian), akal (ilmu), dan perasaan (sentimental).