WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 2 September- Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI) dengan kerjasama Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah melaksanakan Webinar Klinik Halal: Kesedaran Tentang Penggunaan Produk Kimia (Secara atas Talian) pada hari Selasa bertarikh 1 September 2021 bersamaan 23 Muharram 1443H, jam 10.00 pagi sehingga 12.30 tengah hari melalui medium Zoom. Webinar ini telah mencapai kehadiran 170 peserta yang terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM/MAIN/JAIN, pegawai di agensi-agensi di bawah YB Menteri (Agama), Jabatan Perdana Menteri, pegawai awam di pelbagai kementerian /jabatan, pelajar-pelajar di Institut Pengajian Tinggi Awan dan Swasta (IPTA/IPTS) serta masyarakat awam.

Objektif webinar ini adalah untuk memberi pengetahuan dan kesedaran penggunaan produk kimia dan kaitannya dengan pensijilan halal Malaysia kepada semua lapisan masyarakat. Webinar yang berbentuk forum ini telah dikendalikan oleh dua (2) panel yang pakar dan berpengalaman di dalam bidang halal, Puan NurArdzlina binti Mahmod, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Halal JAKIM dan Ustaz Mohd Ilmy Hidayat Bin Sabri dari Kementerian Sumber Asli, dibantu oleh pemudahcara webinar daripada mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi USIM, Encik Huzairi Iskandar bin Zaharuddin. Terdapat 9 perbincangan utama telah dikongsikan antaranya pengenalan kosmetik dan produk halal, isu-isu dan kaedah mengesan bahan terlarang dalam produk, hukum penggunaan kosmetik dan punca kewujudan kosmetik yang tidak selamat di pasaran.

Semoga webinar anjuran kerjasama ILIM dan USIM ini berjaya mencapai matlamatnya dalam menjadi pemangkin kepada pemahaman berkaitan produk halal dan pensijilan halal Malaysia yang lebih mendalam.