BANGI, 18 Februari 2019 – ILIM Kampus Utama Bangi telah mengadakan lawatan kerja ke Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di Bangi sebagai kunjungan balas kepada institut tersebut.
Delegasi ILIM diketuai oleh Pengarah Kanan, Puan Hajah Zawanah binti Muhammad diiringi bersama 7 orang pegawai disambut oleh Ketua Pengarah ILKAP, YBhg. Dato’ Anita binti Haji Harun.
Dalam rangka lawatan kerja ini, ILIM berhasrat untuk menimba pengalaman dari ILKAP mengenai pengurusan pengoperasian infrastruktur, mekanisme pelaksanaan kajian impak bagi kursus-kursus serta peningkatan kompetensi tenaga pengajar.
ILKAP dalam strategi peningkatan kompetensi latihan telah menetapkan pegawai-pegawainya untuk memenuhi sekurang-kurangnya 10 jam sesi pengajaran mengikut bidang kepakaran masing-masing. Penyelidikan dalam latihan sememangnya tidak boleh dipisahkan kerana ia merupakan kayu ukur kejayaan sesebuah program. melihat kepada asas ini, ILKAP telah mengambil tindakan menubuhkan Jawatankuasa Kurikulum Kursus yang bertindak sebagai penilai untuk mengkaji keberkesanan dan impak kursus-kursus yang dilaksanakan.
Semoga dengan pertemuan ini dapat memberi aspirasi kepada ILIM untuk menjadi satu-satunya pusat penyelidikan dan pembelajaran Islam di Malaysia yang menyediakan kepakaran dalam melebar risalah serta menyantuni ummah.