Bangi, 29 Mac 2018 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah mengalami pelbagai transformasi dan pencapaian yang amat membanggakan sepanjang penubuhannya. Proses penjenamaan semula pusat-pusat pengajian di ILIM telah dilaksanakan dengan menyuntik elemen baharu seperti pertukaran nama pusat kepada kluster, dan penekanan terhadap pembangunan kompetensi aras tinggi serta amalan tadbir urus Islam terbaik (Islamic Good Governance Practice).
Sempena Hari Terbuka ILIM (HATI) 2018 bertemakan “Peneraju Latihan Islam Malaysia”, ILIM telah mempromosikan program latihan yang dijalankan di ILIM dan menghebahkan proses penjenamaan semula ILIM kepada stakeholder.
Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha ketika melancarkan Hari Terbuka ILIM 2018 berkata “Ini adalah usaha yang kita laksanakan dan juga apa yang kita sebut sebagai “public engagement” yang merupakan salah satu tanggungjawab sosial Jabatan terhadap masyarakat, supaya setiap dasar yang dilaksanakan tidak memberi tanggapan negatif terhadap Jabatan ini “.
Program ini juga bertujuan mempamerkan produk dan perkhidmatan disediakan oleh ILIM dan Agensi Agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Lembaga Tabung Haji (LTH), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysi (YaPEIM), Yayasan Waqaf Malaysia, Bank Islam Malaysia Berhad, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Pada masa yang sama juga, diadakan Seminar Keluarga Bahagia bertemakan ‘Isu dan Cabaran’ bagi menjayakan matlamat untuk mendekati masyarakat ke arah melahirkan masyarakat penyayang dan bersatu padu selaras dengan ajaran Islam.
Seminar ini juga turut memberikan kefahaman dan kesedaran mengenai kepentingan di dalam mengharungi arus globalisasi bagi membentuk keluarga Islam yang cemerlang di samping memberikan penjelasan mengenai peranan pasangan suami isteri bagi mengukuhkan hubungan dalam perkahwinan.
Diharapkan agar program ini dapat membina jaringan komunikasi dan hubungan baharu antara warga ILIM dan agensi terlibat serta masyarakat umum.