Bangi, 29 Januari 2018 - Kesibukan menuntut ilmu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk meringankan ibadah solat. Ibadah solat adalah agenda utama dalam kehidupan. Bertitik tolak atas keperluan ummah perlu mendekatkan diri dengan tuntutan teras dalam agama Institut Latihan Islam Malaysia menerusi Kluster Ilmu Teras menganjurkan Kelas Fiqh Solat.
Program ini juga merupakan program pembelajaran Islam sepanjang hayat (PISH). Ia dilaksanakan sebanyak enam (6) siri iaitu bermula dari bulan Januari hingga Jun 2018. Ia bertujuan meningkatkan pengetahuan mengenai tatacara solat sempurna, memberi kefahaman mengenai bacaan di dalam solat seterusnya meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan ibadah solat di dalam kehidupan seorang Muslim.
Kelas Fiqh Solat Siri 1 telah dilaksanakan pada 29 Januari 2018 di Dewan Datuk Mohd Shahir, ILIM. Kelas siri 1 selama 2 jam ini bermula dengan tajuk Taharah yang disampaikan oleh YBhg Ustaz Tajul Urus bin Abd Halim dari Pejabat Mufti Wilayah, Putrajaya.
Beliau mengupas mengenai selok-belok urusan mendirikan ibadah solat, malah ditunjukkan demonstrasi mendirikan solat untuk pesakit. Selain membuka ruang dan peluang peserta yang hadir mengemukakan pertanyaan. Sesi soal jawab secara bersemuka itu ternyata memberikan impak positif kepada penuntut dalam mengutarakan permasalahan berkaitan fiqah dan hukum-hakam dalam solat.
Kursus ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan berdasarkan kehadiran peserta seramai 79 orang yang terdiri daripada kakitangan-kakitangan awam dari pelbagai jabatan dan komuniti di sekitar ILIM.
"Usaha menggembleng tenaga melalui pendekatan seminar dan bengkel sebagaimana diadakan ini, antara platform ILIM membantu masyarakat mampu mengerjakan ibadah solat dengan kaedah yang sempurna” menurut Ketua Penolong Pengarah, Kluster Ilmu Teras ILIM, Mahdi Al-Hilmy Arshad.
"Insya-ALLAH, kami di ILIM akan terus menggandakan usaha dengan mengadakan program murni seperti ini demi menjadikan masyarakat tidak tercicir dan terpinggir dari segi ilmu agama" katanya.
Semoga usaha ILIM ini akan terus diistiqamahkan lagi dengan gerakan pendekatan yang aktif dalam pelbagai program keagamaan demi menzahirkan masyarakat yang ulung sahsiah dan berperibadi Muslim yang luhur.