BANGI, 17 NOVEMBER 2017 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) menerusi Kluster Pendidikan dan Pengajian Bahasa (KPPB) telah berjaya menerbitkan dan melancarkan Buku Modul Kursus Bahasa Arab. Pelancaran modul ini telah disempurnakan oleh YBhg. Puan Hajah Zaiton binti Abd Rahman, Pengarah ILIM.
Modul Kursus Bahasa Arab ini disusun secara komprehensif bertujuan dijadikan panduan dan sumber rujukan utama untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) kepada para peserta yang mengikuti Kursus Bahasa Arab di ILIM.
Modul ini mengandungi empat peringkat pengajian iaitu Peringkat Asas, Peringkat Pertengahan, Peringkat Tinggi dan juga Peringkat Pengajaran dan Pembelajaran (P&P). Keempat-empat peringkat ini mempunyai sasaran pesertanya yang tersendiri. Sebagai contoh, Modul Peringkat Asas lebih sesuai kepada peserta-peserta dalam kategori umum di mana mereka baru untuk mengenali dan mempelajari Bahasa Arab,Modul Peingkat Pertengahan dan Tinggi pula lebih mensasarkan kepada Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Hal Ehwal Islam (Kumpulan Pengurusan dan Profesional), sementara Modul Pengajaran dan Pembelajaran mengkhususkan kepada Guru-Guru Sekolah Rendah Agama Negeri dan juga Guru-Guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA).
Pembinaan modul yang bermula pada tahun 2016 telah mendapat kerjasama dari pelbagai pihak iaitu Bahagian Pembangunan Insan, Jakim dan para pensyarah Jabatan Bahasa Arab dari Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Islam , Bangi dan Kampus Perempuan Melayu Melaka.
Adalah diharapkan agar terhasilnya modul ini, para peserta yang mengikuti Kursus Bahasa Arab di ILIM mempunyai satu buku rujukan yang khusus dan seterusnya akan dapat mempertingkatkan lagi penguasaan Bahasa Arab.