BANGI, 20 November 2026 – Bersempena dengan penganjuran ILIM FEST 2026, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah mengadakan Majlis Perasmian Pembukaan Gimnasium Abu Ubaidah bertempat di Blok Asrama C, ILIM Kampus Utama Bangi.
Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM, sebagai simbolik pembukaan kemudahan kecergasan bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan warga ILIM.
Penyediaan Gimnasium Abu Ubaidah merupakan salah satu inisiatif ILIM dalam memperkukuh kesejahteraan warga kerja melalui kemudahan riadah dan aktiviti fizikal yang menyokong kesihatan jasmani, mental serta emosi. Ruang kecergasan yang selesa dan berhawa dingin ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden merangkumi mesin kardio seperti treadmill dan basikal senaman, mesin latihan bebanan pelbagai fungsi (multi-gym dan bench press), serta sudut kecergasan ringan yang menyediakan dumbbell, kettlebell, bola senaman dan tikar yoga.
Pembukaan Gimnasium Abu Ubaidah bersempena ILIM FEST 2026 ini mencerminkan komitmen ILIM dalam menyemarakkan budaya hidup sihat, memperkukuh semangat kebersamaan dan mewujudkan persekitaran kerja yang positif serta produktif.
ILIM terus komited untuk memperkasa kesejahteraan warga kerja dan membudayakan amalan hidup sihat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI ke arah melahirkan modal insan yang sihat, cergas dan berdaya saing.




