SUNGAI PELONG, SUNGAI BULOH | 11 NOVEMBER 2026 (RABU) – Peserta Kursus Daie Roots, Institut Latihan Islam Malaysia telah mengadakan lawatan ke Angkatan Dakwah Antarabangsa Malaysia (ADAM) sebagai sebahagian daripada pengisian kursus yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan pemerkasaan pendakwah dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
Lawatan tersebut melibatkan sesi taklimat dan lawatan sekitar premis yang disampaikan oleh Presiden ADAM, Tuan Haji Muhammad Nasib Zawawi. Sesi ini memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai peranan, pengalaman dan usaha ADAM dalam gerak kerja dakwah serta pembangunan masyarakat.
Pendedahan secara langsung ini turut memberi peluang kepada peserta untuk memahami dengan lebih dekat pendekatan dan cabaran dalam melaksanakan dakwah kepada masyarakat Orang Asli.
Melalui lawatan ini, peserta berpeluang memperluas perspektif serta memperoleh pengetahuan dan pengalaman baharu dalam memperkukuh pendekatan dakwah yang lebih berhikmah, inklusif dan bersesuaian dengan latar belakang serta sensitiviti masyarakat Orang Asli.
Lawatan ini merupakan salah satu pendekatan pembelajaran luar bilik kuliah yang melengkapkan pengisian Kursus Daie Roots, sekali gus menyokong usaha memperkasa kompetensi pendakwah agar lebih bersedia melaksanakan tanggungjawab dakwah di lapangan.

