WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, Selangor – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Kursus Eksekutif Kaunseling Syarie bermula 2 hingga 6 November 2026 bagi memperkasa kompetensi pembimbing dalam mengintegrasikan pendekatan psikologi dan prinsip syariah bagi menangani krisis psikososial serta kerohanian secara berhikmah, beretika dan berkesan. Kursus ini memberi penekanan kepada tiga objektif utama, iaitu meningkatkan kefahaman tentang diagnosis kalbu, pengurusan emosi dan Maqasid Syariah, mengaplikasikan kemahiran komunikasi empati, intervensi awal dan penyelesaian masalah serta membentuk sahsiah pembimbing yang berintegriti, berjiwa rahmah dan beretika dalam memberikan bimbingan.

Kursus ini dihadiri seramai 35 peserta daripada JAIN, MAIN pelbagai Kementerian, Jabatan dan Agensi. Pendekatan kursus merangkumi ceramah, refleksi diri, pemerhatian lapangan dan diskusi interaktif di antara peserta kursus dan penceramah.

Slot slot ceramah disampaikan oleh penceramah yang berpengalaman dan pakar dalam bidang kaunseling dan kaunseling syarie seperti Prof. Dr. Khairul Anwar @ Johari bin Mastor (USIM) , Prof. Dr. Salasiah Hanin binti Hamjah UKM) , Prof. Dr. Che Zarrina Sa’ari (UM), Prof. Madya Dr. Md Noor bin Saper (UPSI), Ustaz Nor Azman Amat (MAIN Negeri Sembilan) dan Ustaz Mohamad Fadhli Ahmat (JAKIM).

Pelaksanaan kursus merangkumi 15 slot pembelajaran yang disusun secara progresif, bermula dengan pengenalan psikologi insan, diagnosis kalbu dan pengurusan emosi melalui slot Labirin Minda, Kit Emergency Emosi, Jiwa Tenang, Hidup Menang dan Diagnosis Kalbu.

Kemahiran komunikasi dan penerokaan masalah diperkukuh melalui pendekatan Ice Breaking Gaya Nabi, Detektif Jiwa dan Deep Talk Syari'e. Seterusnya, peserta didedahkan kepada aplikasi Maqasid Syariah, pembuatan keputusan strategik, terapi taubat serta teknik intervensi bagi menangani krisis rumah tangga dan kecelaruan akidah melalui Kompas Maqasid, Istikharah Blueprint, Terapi Sujud dan Air Mata serta dua sesi Bedah Siasat Kes.

Aspek profesionalisme turut diberi perhatian melalui slot Kaunselor Kebal yang menekankan pengurusan tekanan, keletihan emosi dan batas hubungan pembimbing dengan klien. Keupayaan peserta diuji melalui Grand Simulation yang melibatkan simulasi pengendalian kes sebenar secara praktikal, sebelum dimantapkan melalui sesi Feedback Panel Pakar bagi menilai kompetensi, mengenal pasti kelemahan dan memperkukuh kualiti intervensi.

Diharapkan kursus ini dapat melahirkan pembimbing yang bukan sahaja memiliki ilmu dan kemahiran intervensi berteraskan syariah, malah berupaya menjadi pendamping yang empati, berintegriti dan berjiwa rahmah. Keupayaan mendiagnosis permasalahan jiwa, membimbing pemulihan emosi dan mengembalikan kekuatan spiritual diharapkan dapat menyumbang kepada pembentukan individu, keluarga dan masyarakat yang lebih sejahtera.